TATACARA PELAKSANAAN IBADAH QURBAN (BAHAGIAN 1)

TATACARA PELAKSANAAN IBADAH QURBAN (BAHAGIAN 1)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

TATACARA PELAKSANAAN IBADAH QURBAN (BAHAGIAN 1)

Amalan qurban menjadi satu ibadah tahunan bagi masyarakat Islam khususnya di Malaysia yang melakukan penyembelihan qurban sama ada dilakukan di masjid, surau, balai raya, padang awam, taman perumahan atau rumah persendirian. Pelbagai cara dan kaedah dilakukan oleh masyarakat awam dalam melaksanakan penyembelihan qurban.

Baca Juga : Siapa Wajib Melakukan Qurban?

PENGURUSAN IBADAH QURBAN (BAHAGIAN 2)

TAFSIRAN

Bagi maksud garis panduan ini:

“Qurban”

  • bermaksud nama bagi sesuatu yang diqurbankan, atau nama bagi ternakan yang disembelih pada ‘Idul Adha. Qurban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub kepada Allah SWT pada masa-masa tertentu.  Ia juga diertikan sebagai ternakan an’am yang disembelih pada Hari Nahar dengan tujuan taqarrub kepada Allah SWT.

“Taqarrub”

  • bermaksud perbuatan atau amalan yang dilakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah qurban adalah salah satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada surah al-Kauthar ayat 2, surah alHajj ayat 36.

“Nazar”

  • bermaksud janji kepada Allah SWT. Menurut al-Mawardi, nazar   ialah iltizam (mewajibkan diri) untuk melakukan qurbah (sesuatu yang boleh menghampirkan diri kepada Allah) yang pada asalnya tidak wajib di sisi syarak.

“Qurban Nazar”

  • bermaksud qurban yang diwajibkan ke atas individu yang berazam untuk melakukan qurban nazar. Contohnya, apabila seseorang menyebut: “Wajib ke atas diriku berqurban seekor kambing kerana Allah SWT”.

“Qurban Sunat (tatawu’)”

  • bermaksud qurban yang dilakukan bukan niat kerana bernazar. Ia dikira sunat kerana tidak ada sebab-sebab dan syarat yang menjadikannya wajib.

“Sunat Muakkadah”

  • bermaksud sunat yang amat dituntut untuk melakukan ibadah qurban, dan makruh meninggalkan bagi yang berkemampuan.

“Hari Nahar”

  • bermaksud ’Idul Adha atau Hari Raya Qurban, iaitu pada 10 Zulhijjah.

“Hari Tasyrik”

  • bermaksud 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

 

HIKMAH IBADAH QURBAN

Ibadah qurban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmat-Nya yang berbagai-bagai dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan, ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan, di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.

HUKUM BERQURBAN

  • Dalil pensyariatan ibadah qurban adalah berasaskan kepada al-Quran merujuk kepada surah al-Kauthar ayat 2, surah al-Hajj ayat 36 dan surah al-Safat ayat 107. Manakala dalil pensyariatan berasaskan Sunnah ialah daripada hadith Aisyah yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Majah dan hadith Anas yang diriwayatkan oleh Muslim.
  • Menurut pandangan jumhur ulama, hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat muakkadah bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulama mazhab Shafi‘i adalah sunat ‘ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup.  Menurut pandangan yang masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan qurban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.

JENIS QURBAN

Qurban terbahagi kepada dua jenis, iaitu qurban nazar (wajib) dan qurban sunat.

STATUS HUKUM DAGING QURBAN

Hukum berkaitan daging qurban terbahagi kepada beberapa status seperti yang berikut:

  • Haram memakan daging bagi orang yang melakukan qurban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagaimana juga haram memberikan daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam.
  • Hukum pemberian daging qurban sunat kepada orang bukan Islam adalah haram menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i.
  • Kulit, lemak, daging, susu, kaki, kepala dan bulubulunya haram dijual oleh orang melakukan ibadah qurban sama ada qurban wajib atau qurban sunat.
  • Bahagian atau anggota sembelihan qurban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan qurban.
  • Sunat bagi individu yang melakukan qurban sunat (tatawu’) memakan daging qurbannya.

PEMBAHAGIAN DAGING QURBAN

Pembahagian daging qurban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan qurban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:

  • Pembahagian daging qurban wajib atau nazar:
    • Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berqurban memakan daging qurbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.
  • Pembahagian daging qurban sunat:
    • Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i:
      1. 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya;
      2. 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin;
      3. 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

*Yang paling afdal menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i ialah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berqurban untuk mengambil berkat, seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan.  Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW ketika Baginda melakukan qurban.

INDIVIDU YANG DITUNTUT MELAKUKAN IBADAH QURBAN

Syarat-syarat bagi individu yang dituntut melakukan ibadah qurban adalah seperti yang berikut:

  • Seorang Islam yang masih hidup. Tidak boleh melakukan untuk si mati jika dia tidak meninggalkan wasiat.
  • Seorang yang merdeka. Tidak dituntut ke atas hamba.
  • Mencapai umur baligh dan berakal.
  • Bermukim, iaitu menetap di sesuatu kawasan.
  • Mampu melaksanakan, iaitu mereka yang mempunyai wang untuk berbelanja mendapatkan ternakan qurban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya untuk Hari Raya dan Hari-hari Tasyrik kerana tempoh itulah masa bagi melakukan qurban.

SYARAT SAH BERQURBAN

Syarat sah berqurban hendaklah melakukan dua perkara:

  • Niat untuk taqarrub diri kepada Allah SWT. Waktu niat qurban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban.
  • Memilih ternakan qurban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biribiri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.

TEMPOH DAN MASA BERQURBAN

Tempoh dan masa berqurban hendaklah dilakukan berdasarkan ketetapan yang berikut, iaitu:

  • Penyembelihan hendaklah dilakukan pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Qurban tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya (10 Zulhijjah).  Ia juga tidak sah dilakukan pada malam 14 Zulhijjah.
  • Penyembelihan dilakukan apabila berlalu masa dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan khutbah. Sebagai contoh: Masa yang ditetapkan untuk solat sunat Hari Raya pada jam 8.30 pagi dan selesai pada jam 9.30 pagi.  Maka waktu berqurban bermula pada jam 9.30 pagi.
  • Penyembelihan yang dilakukan selepas tempoh tersebut, sama ada imam menunaikan solat atau tidak, sama ada orang berqurban menunaikan solat atau tidak, sama ada imam menyembelih haiwan qurban atau tidak, hukumnya adalah sah.
  • Waktu penyembelihan qurban berterusan siang dan malam (tetapi makruh dilakukan pada waktu malam) sehingga Hari Tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah) sebelum terbenamnya matahari. Bagi penyembelihan qurban yang dilakukan sebelum terbit fajar, maka hukumnya adalah tidak sah.
  • Penyembelihan qurban yang dilakukan selepas terbit matahari dan sebelum waktu solat sunat Hari Raya Adha adalah tidak mendapat pahala sunat dan tidak dikira sebagai ibadah.

SYARAT SAH HAIWAN TERNAKAN UNTUK QURBAN

Untuk memenuhi syarat-syarat sah sesuatu ibadah qurban, perkara-perkara berikut disyaratkan ke atas haiwan ternakan berkenaan, iaitu:

  • Ibadah qurban tidak sah kecuali dengan haiwan ternakan sahaja, iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina, yang menjadi baka ataupun dikasi. Dengan itu, tidak sah berqurban selain dengan haiwan ternakan seperti kerbau liar, kijang, rusa, pelanduk dan seumpamanya.
  • Haiwan ternakan itu hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.
  • Haiwan ternakan itu tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak, atau kecacatan yang lain sepertinya.
  • Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur, iaitu:
    • unta : berumur lima tahun masuk tahun keenam;
    • lembu/kerbau : berumur dua tahun masuk tahun ketiga;
    • kambing : berumur dua tahun masuk tahun ketiga;
    • biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua, ataupun telah bersalin gigi hadapan.

SYARAT PENYEMBELIH HAIWAN QURBAN

Afdal bagi orang yang melakukan qurban menyembelih sendiri qurbannya. Walau bagaimanapun, dia boleh mewakilkan kepada orang lain atau syarikat atau persatuan yang bersetuju untuk menguruskan ibadah qurban, dan sunat baginya sama-sama hadir menyaksikannya dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

  • Penyembelih qurban hendaklah seorang muslim, sama ada lelaki atau perempuan. Namun yang afdal menyembelih qurban adalah orang lelaki dan sunat orang perempuan mewakilkan kepada orang lelaki;
  • Seorang yang telah mumayyiz dan berakal;
  • Mampu melakukannya (pandai menyembelih) dan dilakukan tanpa ada paksaan;
  • Sembelihan makruh jika mewakilkan qurban itu untuk disembelih oleh ahli kitab, atau kepada kanakkanak dan perempuan haid;
  • Jika qurban itu disembelih oleh orang kafir yang diwakilkan oleh tuan qurban, maka qurban itu tidak sah.

SYARAT SAH SEMBELIHAN

Syarat sah sembelihan adalah dengan memutuskan:

  • dua urat pembuluh darah, iaitu karotid dan jugular (wadajain);
  • urat mari’ (saluran makanan); dan (c) halqum (saluran pernafasan).

SYARAT-ALAT MENYEMBELIH

Alat menyembelih hendaklah tajam, bukan menggunakan alat yang tumpul, tulang dan gigi haiwan.

PERKARA SUNAT KETIKA BERQURBAN

Antara perkara sunat ketika berqurban adalah seperti yang berikut:

  • Menambat ternakan qurban menjelang Hari Nahar.
  • Memberi makanan kepada haiwan qurban sebelum disembelih.
  • Memastikan haiwan tersebut tidak makan makanan yang syubhah seperti makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan haiwan qurban.
  • Meletakkan tanda serta menutup tubuh haiwan qurban supaya dapat merasakan kepentingan qurban.
  • Melakukan penyembelihan qurban dengan sendiri.
  • Membaca Bismillah (               ).
  • Berselawat ke atas Nabi SAW.
  • Penyembelih dan haiwan mengadap ke arah qiblat.
  • Memilih haiwan ternakan yang paling baik.
  • Menunggu haiwan yang disembelih itu sehingga sejuk dan semua anggotanya tidak bergerak lagi atau benar-benar mati dan baharulah dilapah.
  • Orang yang melakukan qurban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga dia telah selesai berqurban.

PERKARA MAKRUH KETIKA BERQURBAN

Antara perkara yang makruh ketika berqurban adalah seperti yang berikut:

  • Melakukan qurban ke atas haiwan yang carik telinganya atau terpotong sedikit di belakang telinganya.
  • Memotong bulu haiwan yang hendak diqurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya.
  • Melakukan qurban ke atas haiwan yang pecah atau patah tanduknya, atau tiada bertanduk.
  • Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan qurban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut.
  • Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang berniat qurban.
  • Melakukan sembelihan qurban pada waktu malam.

CARA MENYEMBELIH HAIWAN QURBAN

Cara menyembelih ternakan qurban adalah seperti yang berikut:

a.Niat atau qasad untuk sembelih qurban; antara contohcontoh lafaz niat:

(i) Qurban Sunat

Kategori Haiwan Ternakan Qurban Contoh Lafaz Niat Oleh Penyembelih Qurban
Seekor binatang yang tidak berkongsi (kambing, lembu, kerbau) Bagi penyembelih yang berqurban:

“Inilah qurbanku kerana Allah”.

Bagi penyembelih yang tidak menyertai qurban: “Inilah qurban Ali dan aku mewakilinya kerana Allah”.

Seekor binatang yang berkongsi tujuh bahagian. Bagi penyembelih yang menyertai qurban:

”Inilah qurban aku dan aku mewakili Ali, Abu, Ahmad, Aishah, Adibah dan Aminah kerana

Allah”.

Bagi penyembelih yang tidak menyertai qurban: ”Inilah qurban Hasan, Ali, Abu, Ahmad, Aishah, Adibah dan Aminah dan aku mewakili mereka kerana Allah”.

(ii) Qurban Nazar

Kategori Haiwan Ternakan Qurban Contoh Lafaz Niat Oleh Penyembelih Qurban
Seekor binatang yang tidak berkongsi (kambing, lembu, kerbau) Bagi penyembelih yang berqurban:

”Inilah qurban wajib ke atasku kerana Allah”.

Bagi penyembelih yang tidak menyertai qurban: ”Inilah qurban wajib ke atas Ali dan aku mewakilinya kerana

Allah”.

Seekor binatang yang berkongsi tujuh bahagian. Bagi penyembelih yang menyertai qurban:

”Inilah qurban wajib ke atasku dan ke atas Ali, Abu, Ahmad, Aishah, Adibah dan Aminah dan aku mewakili mereka kerana Allah”.

Bagi penyembelih yang tidak menyertai qurban: ”Inilah qurban wajib ke atas Hasan, Ali, Abu, Ahmad, Aishah, Adibah dan Aminah dan aku mewakili mereka kerana Allah”.

b.Membaringkan dan menghadapkan rusuk kiri haiwan ke arah kiblat dan kepalanya diangkatkan sedikit;

c.Direbahkan dengan menggunakan tali yang sesuai, tempat yang sesuai dan tidak menyebabkan kecederaan kepada ternakan;

 

 

 

 

 

g..Penyembelih hendaklah memegang kulit tengkuk haiwan di bahagian bawah dagunya dan menariknya sehingga nampak jelas kulitnya;

h.Meletakkan alat menyembelih di leher dengan memutuskan halqum, urat mari’ dan dua urat di leher kiri kanan haiwan (wadajain);

i.Penyembelihan hendaklah dilakukan dengan kadar segera dan tidak diselangi dengan amalan-amalan lain; dan

j.Berdoa kepada Allah SWT agar ibadah qurban diterima:

AGIHAN DAGING QURBAN

  1. Sebelum melaksanakan pengagihan daging qurban, tindakan pertama yang wajib dilakukan ialah mengasingkan antara daging bahagian qurban wajib daripada daging bahagian qurban sunat sebelum diagihkan kepada penerima. Hal ini jika perkongsian tujuh bahagian itu berlaku antara mereka yang berniat qurban wajib dengan mereka yang berniat qurban sunat, atau ada bahagian yang diniatkan untuk aqiqah.  Ini langkah pertama yang amat penting kerana daging qurban wajib, wajib diagihkan kepada yang berhak kesemuanya, begitu juga dengan bahagian aqiqah yang ada cara pengagihannya yang sedikit berbeza dengan pengagihan qurban sunat.
  2. Beberapa urusan lain yang berkaitan dengannya hendaklah diputuskan melalui jawatankuasa yang dibentuk untuk memudahkan pengagihan kepada pihak-pihak yang telah dikenal pasti seperti yang berikut:
    • Memastikan daging qurban cukup untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang telah disenaraikan;
    • Menyediakan senarai penerima daging qurban mengikut keutamaan;
    • Mengutamakan golongan fakir dan miskin yang telah dikenal pasti status mereka;
    • Mengagihkan daging qurban kepada mereka yang tinggal di kawasan terpencil;
    • Menyediakan kontena sejuk (jika perlu) untuk menempatkan daging qurban sebelum ia diagih ke kawasan pedalaman; dan
    • Mengagihkan daging qurban kepada golongan yang berada sekiranya terdapat lebihan daging qurban tersebut.

SUMBER

Jabatan Mufti Perak

 

 

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *