Tanda Bateri Kereta Lemah

Tanda Bateri Kereta Lemah
Share Artikel Ini Di Media Sosial

Tanda Bateri Kereta Lemah

Kereta kini menjadi suatu keperluan untuk kita. Namun kita memerlukan sedikit ilmu untuk memastikan kereta sentiasa bersedia digunakan bila diperlukan. Banyak  perkara yang perlu sentiasa diselenggara untuk kereta dan salah satunya adalah bateri. Adakah anda tahu tanda bateri kereta lemah?

Sebelum kita membincangkan tajuk dengan lebih lanjut, kita terlebih dahulu perlu memahami kegunaan bateri dalam kereta.

 

Fungsi Bateri Kereta

  1. Membekalkan tenaga elektrik sewaktu permulaan menghidupkan kereta.

  • Fungsi utama bateri kereta adalah membekalkan tenaga elektrik kepada ‘starter’. Seterusnya ‘starter’ akan menggerakkan enjin untuk mendapat pembakaran pertama yang stabil.

 

  1. Mengumpul semula tenaga elektrik yang dibekalkan dari ‘alternator’.

  • Setelah membekalkan tenaga elektrik untuk menghidupkan kereta, tenaga elektrik dalam unit Volt yang tersimpan dari bateri akan menurun sedikit. Kemudian, tugas bateri akan diambil alih oleh ‘alternator’. Dalam masa yang sama, ‘alternator’ pula akan membantu untuk mengecas semula bateri dengan membekalkan tenaga elektrik kepada bateri.

 

Apakah Tanda-tanda Bateri Kereta Anda Sudah Lemah?

  1. Sukar untuk menghidupkan kereta.

  • Tanda yang paling ketara yang menunjukkan bateri kereta anda sudah lemah adalah kesukaran untuk anda menghidupkan kereta. Jika kereta anda sudah lama ditinggalkan dan tidak dihidupkan, kesukaran untuk menghidupkan kereta ini adalah disebabkan faktor kegunaan tenaga elektrik secara dalaman seperti kegunaan jam dan juga sistem alat penggera kereta anda.
  • Sekiranya anda sering menggunakan kereta, namun sudah mula sukar untuk menghidupkan kereta, ini menunjukkan bateri kereta anda sudah mula lemah. Kereta yang sering digunakan sepatutnya akan sering juga dicas tenaga elektriknya dari ‘alternator’. Jika hal ini terjadi, ini menunjukkan bahawa bateri kereta anda sudah tidak lagi menyimpan atau mengumpul semula tenaga elektrik yang dibekalkan oleh ‘alternator’ dan membuktikan bateri kereta anda sudah lemah.

 

  1. Lampu amaran bateri akan menyala.

  • Terdapat beberapa lampu amaran pada panel ‘dashboard’ meter kereta anda. Antaranya simbol suhu panas pada enjin, simbol brek dan juga simbol cas bateri lemah.
  • Sewaktu anda memusingkan kunci pada ‘ON’, beberapa simbol ini akan menyala dan akan padam semula selepas anda menghidupkan kereta. Namun, jika salah satu simbol pada panel ‘dashboard’ meter kereta anda masih menyala, ini akan memberi satu amaran kepada anda bahawa terdapat sistem atau fungsi pada kereta anda mengalami masalah.
  • Dalam hal ini, lampu pada simbol bateri lemah akan terus menyala walaupun kereta anda sudah berjaya dihidupkan.

 

  1. Kerap menggunakan ‘jumper’ untuk menghidupkan kereta.

  • Dalam keadaan normal, bateri kereta anda mampu untuk menghidupkan enjin untuk beberapa kali sehingga berjaya. Tetapi hal ini tidak berlaku jika bateri kereta anda sudah mula lemah.
  • Anda akan kerap menggunakan ‘jumper’ untuk mula menghidupkan kereta anda. Ini merupakan antara tanda yang sering dianggap remeh oleh segelintir pemandu. Kejadian seperti ini mungkin akan bermula dengan bantuan ‘jumper’ sekali dalam tempoh sebulan. Kemudian akan bertukar menjadi sekali dalam tempoh seminggu.

 

  1. Lampu kereta agak malap tanpa kereta dihidupkan.

  • Anda boleh menggunakan kaedah ini terutama sekali sewaktu keadaan sekeliling gelap seperti pada awal pagi atau pada malam. Untuk menggunakan keadah ini, anda perlu sering membuat pemerhatian.
  • Anda akan membezakan kecerahan lampu kereta anda dengan kecerahan pada tempoh sebelumnya. Menentukan bateri kereta anda lemah dengan kaedah ini mungkin memerlukan sedikit masa, namun ia masih lagi kaedah yang mudah untuk mengesan bateri kereta sudah lemah dengan lebih awal.

 

 

Bagaimana bateri kereta menjadi lemah?

Berikut merupakan punca bateri kereta menjadi lemah:

  1. Pintu kereta tidak ditutup rapat.

  • Terdapat lampu yang akan menyala sekiranya anda membuka salah satu pintu. Tetapi lampu ini tidak akan menyala jika anda tidak memilih suis untuk menghidupkan lampu ketika anda membuka pintu.
  • Namun untuk pengetahuan anda, terdapat simbol pada panel ‘dashboard’ meter iaitu simbol pintu kereta terbuka. Terdapat tenaga elektrik yang mengalir untuk menghidupkan simbol ini. Oleh itu, bateri kereta anda akan terus mengalir untuk menyalakan simbol pintu kereta terbuka sehinggalah anda menutup pintu kereta anda dengan rapat.

 

  1. ‘Headlight’ tidak dimatikan.

  • Kejadian seperti ini sering berlaku pada siang hari atau mungkin selepas hujan reda. Anda akan menghidupkan ‘headlight’ semasa memandu pada awal pagi dan terlupa untuk mematikannya disebabkan hari sudah cerah.
  • Tidak mustahil bateri akan menjadi sangat lemah jika dibiarkan dalam tempoh yang lama seperti anda meninggalkan kereta dalam keadaan ‘headlight’ masih dihidupkan di tempat kerja.

 

  1. Alat penggera dibiarkan berbunyi dalam tempoh yang lama.

  • Jika anda berada di tempat yang agak jauh dari tempat anda meletakkan kereta, agak sukar untuk anda mendengar alat penggera kereta anda berbunyi.
  • Alat penggera yang dibiarkan berbunyi dalam tempoh yang lama akan menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

 

  1. Penggunaan aksesori yang melebihi tenaga elektrik maksimum yang dibenarkan.

  • Memang nampak menarik dan mengujakan dengan pemasangan aksesori kereta seperti lampu LED pelbagai warna dan juga sistem audio yang hebat.
  • Malangnya, tidak semua kedai aksesori akan memberitahu tahap penggunaan tenaga elektrik yang akan digunakan sekiranya anda menggunakan kesemua aksesori tersebut serentak pada suatu masa.
  • Akibatnya, kedua-dua sumber bekalan tenaga elektrik iaitu bateri dan ‘alternator’ akan bekerja keras untuk memastikan bekalan tenaga elektrik mencukupi untuk penggunaan aksesori. Maka jangka hayat bateri akan lebih cepat untuk rosak atau lemah kerana ‘alternator’ tidak dapat membekalkan tenaga elektrik kepada bateri untuk dicas semula dengan baik.

 

  1. Tempoh hayat bateri.

  • Bergantung pada komponen lain seperti ‘alternator’ dan juga aksesori kereta anda, secara umumnya, bateri kereta mampu bertahan dalam julat 2 tahun. Pastikan anda memeriksa tarikh pemasangan bateri kereta anda yang tertulis atau ditampal pada bateri anda.
  • Dengan cara ini, anda akan dapat menjangkakan waktu sesuai untuk anda menggantikan dengan bateri kereta yang baharu.

 

  1. Kereta tidak dihidupkan.

  • Jika anda bercadang untuk tidak menggunakan sesebuah kereta yang anda miliki untuk beberapa tempoh yang lama seperti anda keluar negara untuk bercuti, anda dinasihatkan untuk mencabut wayar penyambung pada bateri kereta.
  • Mungkin anda bimbang sistem elektronik yang terdapat pada kereta anda akan bermasalah jika bateri ditanggalkan, anda boleh meminta bantuan kenalan anda untuk menghidupkan kereta anda.

 

  1. ‘Alternator’ bermasalah.

  • Alternator yang berfungsi dengan baik pasti akan mampu mengecas semula bateri kereta anda. Namun sekiranya ‘alternator’ anda bermasalah, bateri kereta tidak dapat dicas semula dan akan menyebabkan tenaga elektrik pada bateri kereta anda akan sentiasa berkurangan sehingga tidak lagi mampu menghidupkan kereta.
  • Anda boleh melakukan ujian tahap tenaga elektrik pada bateri kereta anda sebelum enjin dihidupkan dan selepas enjin dihidupkan dengan menggunakan voltmeter.

Baca juga : Tanda Alternator Kereta Rosak & Punca-puncanya

  1. Litar pintas.

  • Litar pintas yang dimaksudkan di sini adalah litar pintas yang menyebabkan lampu sentiasa menyala. Contohnya, pada ruang penyimpanan barang akan terdapat lampu untuk membantu pengguna untuk mencari barang.
  • Dalam hal ini, lampu pada ruang penyimpanan barang akan terus menyala tanpa anda mengetahui kerana anda menyangka lampu telah terpadam setelah anda menutup ruang penyimpanan barang.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *