SIAPAKAH TOK KENALI : ULAMA PENUH KARAMAH

SIAPAKAH TOK KENALI : ULAMA PENUH KARAMAH
Share Artikel Ini Di Media Sosial

SIAPAKAH TOK KENALI : ULAMA PENUH KARAMAH

Tahukah anda siapakah sebenar Tok Kenali? Nama Tok Kenali tidak asing lagi di negara ini, dan satu ketika dulu pengaruh beliau cukup kuat hingga sampai ke Patani. Beliau mempunyai peranan langsung terhadap kebangkitan Islam di Kelantan pada zaman kegemilangannya hingga mendapat julukan ‘Serambi Makkah’. Di samping mengajar, Tok Kenali aktif dalam penulisan, urusan kemasyarakatan dan juga pemerintahan.
Beliau adalah orang penting di belakang penerbitan majalah ‘Pengasuh’. Pernah menjadi Ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Ahli Majlis (Dewan) Ulama. Tok Kenali berpesan kepada murid-muridnya, antara lain, “Mengaji sungguh-sungguh” dan “Buka pondok”.
Baca seterusnya utk mengetahui lagi tentang siapakah Tok Kenali ini…..

ANTARA CERITA TENTANG KARAMAH TOK KENALI

Banyak cerita tentang karamah Tok Kenali sudah diselit-selitkan secara tidak langsung dalam tulisan ini namun masih banyak lagi kejadian pelik yang benar-benar berlaku ke atas diri Tok Kenali sebagai seorang wali ALLAH itu.

  • Ada seorang yang menjala ikan tak dapat-dapat sebarang jenis ikan, lalu bertembung dengan Tok Kenali. Tok Kenali pun memegang-megang sambil menepuk-nepuk jalanya itu. Selepas itu orang itu menjala dengan sekali campak (tebar) saja sudah dapat banyak sungguh ikan.
  • Pernah berlaku beberapa kali anak muridnya mendapati Tok Kenali menyeberangi sungai tanpa dilihat melalui jambatan ataupun menaiki perahu.
  • Tok Kenali pula berjalan cepat sehingga anak-anak muridnya selalu ketinggalan. “Beliau nampak berjalan macam biasa saja tetapi selalunya beliau sampai dulu seolah-olahnya dunia ini sempit baginya,” cerita murid-muridnya.
  • Tok Kenali juga pernah memberi amaran supaya bersiap sedia kerana banjir besar akan melanda Kelantan. Beliau berkata, “Aku ada alamat akan berlaku bah besar. Kerana itu kamu bersiap sedialah…” Setahun kemudian berlakulah bah besar seperti yang dikasyafkan kepada Tok Kenali itu yang terkenal dengan ‘bah merah’, yang tertera dalam catatan sejarah penting negeri Kelantan; berlaku pada 26 Disember 1926.

CERITA TENTANG ULAT DI KAKI TOK KENALI

Setelah umurnya melebihi 60 tahun, Tok Kenali semakin uzur sehingga akhir-akhir hayatnya beliau terlantar di rumah kerana dihinggapi sakit patah jentang; berkudis di kaki kiri hingga berlubang merobok. Sakit tak terhingga. Tetapi Tok Kenali terus sabar dan tenang. Lubang kudisnya semakin membesar dan di dalamnya hidup ulat-ulat kudis. Satu hari sedang Tok Kenali mandi di tepi telaga pondoknya, ulat itu terjatuh, lalu beliau memanggil muridnya Haji Muhammad Gelang Tok Uban.
“Mat cepat mari, ayah panggil,” jerit Hajjah Ruqaiyah yang berada di sisi suaminya itu. Haji Muhammad segera mendapatkan Tok guru kesayangannya itu.
“Cepat Mat, selamatkan saudaraku, dia terjatuh ke dalam lubang lalu menghilang,” arah Tok Kenali, meminta muridnya itu mencari ulat itu dan memasukkan semula ke dalam lubang di kakinya. Ulat itu ditemui lalu Tok Kenali sendiri yang memasukkannya ke dalam lubang kudis di kakinya itu.
“Tok guru, biar hamba buang ulat di kaki Tok guru,” pinta muridnya agar tuan gurunya segera sembuh. Tok Kenali yang sudah rasa dirinya tidak akan lama lagi berada di dunia fana itu berkata perlahan-lahan, “Biarlah dia hidup, dia mahu makan seperti kita manusia juga.” Peristiwa ini mengingatkan kita kepada ujian yang menimpa Nabi Allah Ayub a.s. yang sabar menanggung derita sakit kudis penuh badan hingga berulat. Tidak lama kemudian sakit Tok Kenali menjadi berat. Beliau berbaring tidak mengeluarkan apa-apa perkataan lagi. Anak-anak dan isteri berada di sekelingnya.

LATAR BELAKANG TOK KENALI

Berikut adalah butiran siapakah sebenar yang membawa gelaran Tok Kenali ini :

  • Gelaran Tok Kenali
  • Nama asal beliau iaitu Muhammad Yusuf Bin Ahmad.
  • Gelaran Tok Kenali Berasal dari nama kampungnya iaitu kampung Kenali, Kubang Kerian, Kelantan.
  • Kadang-kadang ada juga yang memanggil Tok Kenali dengan nama Awang Kenali sahaja. Namun demikian, nama Awang Kenali bukan gelaran biasa.
  • Hal ini kerana menurut tulisan Wan Mohd. Shagir Abdullah, nama Awang Kenali berpunca daripada gurunya sendiri iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Gelaran ‘Awang’ berasal daripada perkataan ‘Awan’. Guru kepada Tok Kenali itu menyatakan tingginya ilmu Tok kenali mencapai ke tahap ‘awan’. Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar kepada Awang.
  • Beliau dianggap sebagai seorang ulamak ulung, guru agama unggul dan tokoh pemikiran umat Islam di Tanah Melayu dan Asia Tenggara zaman berzaman di awal abad ke 20an. Bukan setakat itu sahaja, malahan nama beliau gah di negara Arab sehingga di Tanah Suci Mekah.
  • Tokoh ilmuan ini lahir di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Baharu Kelantan dalam tahun 1287H bersamaan dengan 1870H semasa pemerintahan Sultan Muhammad 11 yang hidup di antara tahun 1837 hingga 1886M.
  • Allah SWT mengizinkan Tok Kenali menjalani kehidupan di dunia fana ini selama 65 tahun.
  • Ulama tersohor ini kembali ke rahmatullah pada hari Ahad 19 November 1933M lebih kurang jam 7.30 pagi Ahad bersamaan 2 Syaaban 1352H. Beliau dikebumikan di Kubang Kerian, Kelantan.

ANTARA SENARAI ULAMA YANG MENDAPAT GELARAN DENGAN NAMA TEMPAT

  • Tok Kenali
  • Tok Khurasan,
  • Tok Bachok,
  • Tok Kemuning,
  • Tok Selehor,
  • Tok Mesir
  • Tuan Tabal

ANTARA SUMBANGAN TOK KENALI

Sekiranya hendak dihitung sumbangan beliau dalam arena dakwah di negara kita banyak sekali.

  • Beliau merupakan pelopor utama dalam mengembangkan sistem sekolah pondok yang memartabatkan agama Islam dalam Malaysia dan luar negara.
  • Murid-murid yang berguru dengannya kemudian membuka pondok di tempat lain di luar daripada negeri Kelantan. Oleh itu, tidak hairanlah beliau berjaya melahirkan ramai ulamak-ulamak hebat di Tanah Melayu ini.
  • Tok Kenali merupakan orang penting dalam perkembangan pemikiran Islam di Tanah Melayu khususnya. Banyak karya-karya yang mencerna dan membangunkan pemikiran masyarakat Islam Malaysia dibentangkan dalam Majalah Pengasuh.
  • Beliau bukan sahaja pengarang, malahan beliau adalah Ketua Pengarang majalah tersebut.
  • Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.
  • Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.
  • Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
  • Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya?ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H

PERIBADI DAN SIFAT-SIFAT UTAMA TOK KENALI

Tuk kenali bukan hanya terkenal sebagai salah seorang ulamak besar sahaja, malah terkenal pula sebagai tokoh yang mempunyai sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakat islam. Antara sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakat tersebut ialah:

  • Sangat menghormati dan memuliai ibu
  • Pemurah, suka menderma terutamanya kepada fakir miskin dan anak-anak.
  • Seorang yang sabar, tidak lekas marah.
  • Suka berjalan kaki sahaja sebagai suatu langkah latihan melenyapkan perasaan sombong, bongkak dan megah.
  • mengamalkan hidup berdikari. Beliau membeli sendiri di pasar.
  • suka membaca dan menatap, baik buku-buku atau majalah-majalah di mana-mana sahaja beliau berada.
  • Suka beriktikaf di masjid, manakala tidur kerap berbantalkan lengan.
  • pakaian beliau amat sederhana.

ANTARA SENARAI ANAK MURID TOK KENALI

Di antara murid-murid Tuk kenali terdapat suatu golongan atau angkatan pengarang buku-buku agama yang mempunyai kedudukan yang baik di kalangan masyarakat Islam di dunia sebelah sini. Mereka ialah”

  1. Dr. Syaikh Muhammad idris Al-Marbawi, seorang pujangga Islam yang banyak memberio sumbangan dalam perkembangan ajaran-ajaran Isdlam dengan kamusnya “Kamus Al- Marbawi” (Arab-Melayu) dan kitab-kitab karyanya yang banyak di lapangan Agama Islam.
  2. Saahib Al-Fadhilah Datuk Hj. Ahmad mahir, Mufti Kerajaan kelantan yang juga seorang pengarang.
  3. Syaikh uthman Jalaluddin Al-Kilantani, seorang pengarang buku-buku agama dan seorang guru.
  4. Tuan guru Hj. Yaakub bin Ismail. Legor, Selatan Thailand.
  5. Saahib Al-Fadhilah, Datuk Hj. Ismail bin Yusoff, Mufti Kerajaan kelantan.
  6. Asy-Syaikh Muhammad Salih Tuk kenali, Makkah Al-Mukarramah Saudi Arabia.
  7. Yang Berbahagia Hj. Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara) pengarang majalah Al-Hikmah***(1923M) yang banyak mendidik bakat-bakat penulis dan pengarang-pengarang sebelum perang.
  8. Tuan guru Hj. Ali Salahuddin, seorang guru agama terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.
  9. Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir, seorang guru agama terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.
  10. Tuan Guru Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad , lorong Gajah mati, Kota Bharu adalah seorang guru agama dan seorang pengarang.
  11. Yang berbahagia Datuk Hj. Hassan Yunus Al-Azhari, Bekas Menteri Besar Johor , ahli politikyang juga menjadi seorang pengarang.

ANTARA SENARAI ANAK TOK KENALI YANG MENERUSKAN LEGASI AYAHANDANYA

Selain murid-murid beliau yang berbakat, terdapat pula cahaya-cahaya mata Tuk kenali yang turut memperkembangkan pengajaran ayahndanya, mereka ialah

  1. Al-Marhum Hj. Ahmad Tuk Kenali, guru agama di pondok kenali dan guru yang mengajar pada beberapa buah surau dalam beberapa jajahan, daerah Negeri Kelantan.
  2. Hj. Mahmud, wakil Syaikh haji , makkah.
  3. Hj. Mohd Salleh Tuk Kenali, guru agama di kota suci Makkah dan seorang pengarang buku-buku dan risalah-risalah agama. Beliau mendirikan persatuan “Darul-Islah” bertempat di Maulid nabi, Suatu persatuan astu perhimpunan kaum Muslimin dari Tanah melayu, patani, kemboja, Indonesia dan lain-lain yang datang ke Tanah Suci makkah terutamanya di musim-musim haji, di mana Tuk kenali diperkenal dan jasanya diperkenangkan. Suatu persatuan lagi didirikan oleh beliau dengan nama “Darul-Quran (Persatuan Al-quran) bertempat di Misfalah, Makkah.
  4. Hj. Abdullah Zawawi, lulusan kuliah Syariah, makkah. Berkecimpung di bidang pendidikan dan menjadi pengetua sekolah-sekolah menengah di Kerajaan Arab Saudi dan Nigeria.

TOK KENALI DENGAN HAL-HAL KEMASYARAKATAN

Sewaktu melancarkan pengajaran-pengajarannya, Tuk kenali didapati agak gemar sekali membincangkan hal-hal politik tanah air. Semasa hayatnya Tuk kenali tidak memisahkan politik daripada bidang pelajaran, malah beliau tidak mengenal pemisahan antara. Agama islam yang difahami dengan politik. Ini adalah merupakan suatu cara menyesuaikan pengajarannya dengan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat dengan alam keliling. Kerana itu dalam pengajarannya beliau mengemukakan beberapa anjuran melalui cerita-cerita tauladan yang berkesan antaranya:

  • ikut bapamu, tetapi takutkan Tuhan
  • kuasailah pengetahuan agama dan politik
  • ilmu itu apa yang terguris dalam hati
  • pengetahuan manusia terbatas.
  • Mengaku salah jika bersalah.
  • Sunnah Tuhan sudahlah wajar
  • biar mati adat, jangan mati syarak.
  • Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
  • Bertanya pada yang tahu.
  • Penjahat itu mencukupi dengan kejahatannya.
  • Doa adalah senjata orang mukmin.

PENDIDIKAN TOK KENALI

  • Sewaktu kecil beliau diasuh dan dididik dengan pendidikan agama oleh datukya kerana ayahnya telah meninggal dunia ketika berusia lima tahun. Datuk beliau merupakan seorang warak dan memiliki ilmu agama serta patuh kepada peraturan-peraturan Ilahi. Tok Kenali mempelajari Al-Quran dan tulis menulis daripada datuknya sendiri Encik Shalih atau lebih mesra dengan Tok Leh .
  • Nenek tirinya turut mendidik Tok Kenali dan cukup menjaga hal-hal makanan dan minuman yang hendak diberikan kepada Tuk Kenali kerana beliau percaya makanan yang haram boleh membentuk peribadi tidak elok kepada diri seseorang.
  • Kegigihan Tok Kenali dalam menuntut ilmu memang sukar ditandingi. Sejak berumur sembilan ke sepuluh tahun lagi Allahyarham telah mengambil langkah untuk menuntut ilmu di luar daripada kampung halamannya. Beliau tekad menuju ke Kota Bharu, Kelantan dan tempat pertama yang ditujuinya adalah masji Al-Muhammadi. Di sana terdapat ramai guru-guru agama dan beratus-ratus murid dari seluruh ceruk negeri Kelantan yang menyambung pelajaran.
  • Di negeri Kelantan beliau menutut ilmu Bahasa Arab, nahu, saraf dan pengetahuan agama. Minatnya dalam menuntut ilmu tidak terhenti setakat itu sahaja kerana beliau bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Mekah.
  • Cita-cita Tok Kenali untuk meningkatkan ilmu agama di Tanah Haram Mekah akhirnya tercapai juga ketika umurnya 18 tahun. Pada tahun 1887M bersamaan dengan 1305H Tok Kenali berjaya menjejakkan kaki di Kota Suci Mekah bagi meneruskan pengajian dan menjalani ibadah rukun Islam ke lima iaitu menunaikan haji.
  • Sebelum sampai ke Mekah, pelbagai rintangan yang perlu ditempohnya, namun semangatnya tetap utuh untuk meneruskan impiannya. Menurut riwayat, semasa dalam pelayaran menuju ke Mekah kapal yang ditungganginya mengalami kerosakan dan pelayaran yang terpaksa ditempoh adalah selama 6 bulan. Pemergiaannya ke Mekah hanya berbekalkan wang RM 22 pemberian ibunya beserta bantuan rakan dan sahabat sebanyak RM 50.
  • Semasa di Mekah, segala cabaran dalam menuntut ilmu diharungi oleh Tok Kenali dengan penuh sabar walaupun kesukaran di perantauan sukar digambarkankan. Di percayai sekitar 7 bulan lamanya beliau tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap. Beliau hanya berehat di Serambi Masjidil Haram dan mencari waktu-waktu kekosongan orang untuk tidur. Sedangkan Masjidil Haram menjadi tempat orang ramai beribadat seperti bertawaf, saie, solat dan sebagainya.

 

Baca Juga :

 

 

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *