REVOLUSI MYKAD DI MALAYSIA : KAD PENGENALAN KEPADA MYKAD

REVOLUSI MYKAD DI MALAYSIA : KAD PENGENALAN KEPADA MYKAD
Share Artikel Ini Di Media Sosial

REVOLUSI MYKAD DI MALAYSIA : KAD PENGENALAN KEPADA MYKAD

Tahukah anda bagaimana Malaysia telah melakukan revolusi terhadap Mykad? Berdasarkan perkongsian dari Jabatan Pendaftaran Negara, Kad pengenalan telah melalui evolusi selama lebih dari 70 tahun sehingga ia menjadi kad berteknologi tinggi yang kita kenali pada hari ini.

Daripada sekeping kertas biasa, ia kini dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri berteknologi tinggi dan lengkap dengan maklumat pemegang kad.

Berikut adalah bagaimana revolusi mykad berlaku.

1948 KAD PENGENALAN PERTAMA  (Kad Pengenalan Kertas/Kad Beras)

Kad pengenalan kertas diperkenalkan di seluruh tanah Semenanjung oleh Kerajaan British bagi melindungi negara daripada ancaman komunis.

Ia juga dikenali sebagai ‘kad beras’ kerana sewaktu catuan makanan pada zaman darurat bermula pada 1948 itu memerlukan bukti pengenalan diri bagi mendapatkan beras.

Ciri-Ciri :

  • Mengandungi gambar hitam putih
  • Tidak bersalut
  • Mengandungi cap ibu jari kanan sahaja
  • Mengandungi maklumat asal penduduk tanpa status taraf kewarganegaraa

 

1960 KAD PENGENALAN KEDUA (Kad Pengenalan Plastik)

tahukah anda Kad Pengenalan Plastik Pertama Bernombor 0000001 Dimiliki Oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman

Kad pengenalan plastik  telah diperkenalkan bagi menambah baik sistem sedia ada bermula di Semenanjung pada Ogos 1960. Kemudian, penggunaannya diperluaskan ke Sarawak pada Mac 1966 dan ke Sabah pada Jun 1972.

Ciri Kad pengenalan Plastik :

  • Menawarkan keselamatan yang lebih baik
  • Bersalut dan diproses secara teragih
  • Dikeluarkan dalam 4 jenis warna bagi membezakan taraf warganegara.
  • Mengandungi maklumat yang lebih terperinci termasuk nombor kad pengenalan
  • Memaparkan gambar hitam putih serta cap ibu jari kiri dan kanan.

 

1990 KAD PENGENALAN KETIGA (Kad Pengenalan Bunga Raya)

Pada April tahun 1990, kad pengenalan bermutu tinggi diperkenalkan. Kad ini juga dikenali sebagai kad pengenalan bunga raya.  Gambar hitam putih digunakan dan hanya pada 1999 gambar berwarna mula digunakan.

Sebelum 1990, nombor kad pengenalan warganegara adalah dalam bentuk A####### di mana # merupakan nombor siri 7-digit yang mana nombor terakhir dalam siri nombor tersebut turut sama mempunyai peranan pembezaan jantina lelaki dan wanita seperti sini nombor baru MyKad.

Set Nombor 12-Digit Mula Diperkenalkan. Bermula dari penggunaan kad pengenalan bunga rayalah set nombor 12-digit yang unik dalam format TTBBHH-NN-###J diperkenalkan sebagai nombor kad pengenalan untuk semua warga Malaysia.

Kumpulan digit pertama (TTBBHH) merupakan tarikh lahir pemilik kad pengenalan. Kumpulan kedua (NN) pula merupakan kod negeri lahir, iaitu 01-13 untuk negeri-negeri, 14-16 untuk Wilayah Persekutuan dan kod 71 jika lahir di luar Malaysia.

Bagi anggota polis, kod yang digunakan ialah 88 manakala untuk anggota tentera, kod yang digunakan ialah 99.

Namun begitu apabila seseorang anggota polis atau tentera menamatkan perkhidmatan mereka, nombor kad pengenalan mereka akan ditukar kepada kod nombor asal tempat kelahiran mereka.

Kumpulan nombor terakhir (###J) merupakan nombor siri yang dijana secara rawak oleh sistem komputer Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.

Sistem nombor kad pengenalan yang sudah diperkenalkan lebih 30 tahun ini masih dipelihara dan digunakan sehingga sekarang.

KOD NEGERI
01, 21, 22, 23, 24 Johor
02, 25, 26, 27 Kedah
03, 28, 29 Kelantan
04, 30 Melaka
05, 31, 59 Negeri Sembilan
06, 32, 33 Pahang
07, 34, 35 Pulau Pinang
08, 37, 38, 39 Perak
09, 40 Perlis
10, 41, 42, 43, 44 Selangor
11,03,06, 45, 46 Terengganu
12, 47, 48, 49 Sabah
13, 50, 51, 52, 53 Sarawak
14, 54, 55, 56, 57 W.P Kuala Lumpur
15, 58 W.P Labuan
16 W.P Putrajaya
88 Polis
99 Tentera

Untuk membezakan di antara pemegang MyKad lelaki dan perempuan, nombor terakhir dalam siri nombor kad pengenalan telah di sesuaikan mengikut jantina pemegang.

Sekiranya pemegang MyKad mempunyai siri nombor terakhir berangka genap, jantina pemegang adalah wanita. Manakala jika pemegang MyKad mempunyai siri nombor terakhir berangka ganjil, jantina pemegang adalah lelaki.

Ciri Kad Pengenalan Bunga Raya :

  • Pengenalan sistem 12 angka unik
  • Gambar hitam putih (1990)
  • Gambar berwarna (1999)
  • Cap ibu jari kiri dan kanan
  • Mengandungi maklumat terperinci
  • Bersalut

2000 REVOLUSI KAD PENGENALAN KEPADA MYKAD (MyKad)

Sejajar dengan peredaran zaman, kad pengenalan pintar telah diperkenalkan. Kad pengenalan mula dikenali sebagai MyKad. Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Multimedia Super Corridor Malaysia (MSC Malaysia) yang dicetuskan oleh kerajaan bagi menghasilkan inovasi berteknologi tinggi di negara ini.

Ia merupakan salah satu pencapaian besar Malaysia kerana ia adalah aplikasi perdana koridor raya yang pertama dilancarkan secara rasmi.

Pada akhir tahun 2000 MyKad mula digunakan di Semenanjung dan awal tahun 2002 ia mula digunakan di Sabah dan Sarawak.

Ciri Mykad :

  • Kad diperbuat dari bahan polikarbonat
  • Dilengkapi dengan cip untuk elakkan pemalsuan.
  • mengandungi maklumat lengkap

2005 PENGENALAN MYKID (MyKid)

Mulai 1 Januari 2005, semua bayi yang lahir turut diberikan kad pengenalan tanpa gambar berwarna merah jambu dipanggil MyKid. Perkataan ‘Kid’ bermaksud ‘Kad Identiti Diri’ dan juga bermaksud ‘budak’ dalam bahasa Inggeris.

Tujuan MyKid diperkenalkan adalah sebagai ganti Sijil Kelahiran, yang bermakna bayi tersebut tidak lagi mempunyai nombor sijil kelahiran, sebaliknya diberikan terus nombor kad pengenalan yang akan digunakan dalam MyKad.

 

2006 PENGENALAN MYPR (MyPR)

Pada 1 Jun 2006, MyPR telah diperkenalkan sebagai mengganti kad pengenalan merah untuk pemastautin tetap Malaysia. ‘My’ membawa maksud yang sama seperti MyKad manakala ‘PR’ adalah singkatan kepada bahasa Inggeris, Permanent Resident.

MyPR berwarna merah sepenuhnya mengandungi semua data utama sama seperti pemegang MyKad.

Namun begitu di belakang MyPR mempunyai cetakan data mengenai negara asal pemegang MyPR termasuk nombor permit permastautin tetap.

Bermula dari tarikh 1 Jun 2006 juga, semua pemegang kad pengenalan merah lama diminta menukarkan kad mereka kepada MyPR sebelum 1 Julai 2007.

Penggunaan set nombor kad pengenalan 12 digit yang sama digunakan pada MyKad dan MyKid dan cuma dibezakan dengan kod tempat kelahiran mengikut tempat dilahirkan, biasanya kod 71 yang mewakili kelahiran di luar negeri.

 

2012 CIRI KESELAMATAN MYKAD DI TAMBAH BAIK

Mulai Januari 2012 MyKad telah dipertingkatkan lagi ciri keselamatan dan kecanggihannya.

Ciri-ciri baru yang ditambah baik pada MyKad ialah “ghost image” yang dihasilkan daripada teknologi turisan laser pada permukaan kad.

Selain untuk elakkan pemalsuan, ia juga dilengkapi  dengan perlindungan anti salin. Namun, rakyat Malaysia tidak diwajibkan untuk menukar tetapi digalakkan untuk berbuat demikian.

Pengeluaran kad pintar ini dilihat menepati piawaian standard antarabangsa selain tidak mudah rosak dan telah ditambah baik kualiti material cip daripada bahan tahan lasak.

 

BACA JUGA :

SEJARAH MYKAD DI MALAYSIA : KAD PENGENALAN

SENARAI FUNGSI MYKAD : CIRI KESELAMATAN

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *