PENGURUSAN IBADAH QURBAN (BAHAGIAN 2)

PENGURUSAN IBADAH QURBAN (BAHAGIAN 2)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

PENGURUSAN IBADAH QURBAN (BAHAGIAN 2)

bagaimanakah pengurusan ibadah Qurban?

Baca Juga : TATACARA PELAKSANAAN IBADAH QURBAN (BAHAGIAN 1)

TAFSIRAN

Bagi maksud garis panduan ini:

  • “Akad Wakalah” bermaksud suatu akad untuk mewakilkan orang lain (wakil) melaksanakan urusan dalam mengendalikan perkara yang diharuskan oleh syarak.
  • “Muwakkil (pewakil)” bermaksud orang yang menyuruh orang lain menjadi wakil atau orang yang membuat wakalah.
  • “Wakil” bermaksud orang yang menerima wakalah.
  • “Muwakkal fih” bermaksud barang atau urusan yang hendak diserahkan kepada wakil.
  • “Tawkil” bermaksud pelantikan wakil.
  • “Hibah” bermaksud pemberian yang mencakupi hadiah dan sedekah atau sumbangan. Dalam istilah syarak ialah akad yang dapat memindah milik sesuatu tanpa balasan.
  • “Qurban Nazar” bermaksud qurban yang diwajibkan ke atas individu yang berazam untuk melakukan qurban nazar. Contohnya apabila seseorang menyebut: “Wajib ke atas diriku berqurban seekor kambing kerana Allah SWT”.

PIHAK WAKIL MELANTIK WAKIL LAIN (TAWKIL) MELAKSANAKAN QURBAN

  • Kaedah umum menyatakan bahawa wakil tidak harus mewakilkan orang lain terhadap apa yang diwakilinya tanpa izin pewakil. Tetapi sekiranya pewakil (orang yang berniat qurban) mengungkap dengan lafaz umum, maka harus bagi wakil untuk mewakilkan kepada orang lain berdasarkan kepada kefahaman umum.  Contoh akad wakalah umum:
    • “Saya Ahmad bin Muhamad bersetuju mewakilkan tuan menguruskan qurban saya pada tahun ini (1434H) kerana Allah Ta‘ala”.
  • Sekiranya pewakil tidak menyebut lafaz yang menunjukkan umum keizinannya untuk bertindak, maka tidak harus bagi wakil mewakilkan (tawkil) kepada orang lain untuk menerima kerana wakil bertindak mengikut penyerahan pewakil dan memiliki kadar serahan itu sahaja.
  • Wakil juga tidak harus mewakilkan (tawkil) kepada orang lain tanpa izin pewakil apabila ia mampu melakukannya. Apabila tidak mampu melaksanakan apa yang diwakilkan kepadanya, harus baginya tawkil.

LAFAZ NIAT WAKALAH UNTUK PELAKSANAAN QURBAN

Contoh lafaz khusus, akad orang yang berqurban menyuruh seseorang mewakilinya:

  • “Saya Ahmad bin Muhamad bersetuju mewakilkan Pengarah Program Syarikat Qurban melaksanakan qurban saya untuk tahun ini (1434H) dengan bayaran RM500.00 bagi satu bahagian beserta upah RM100.00 kerana Allah Ta‘ala.”
  • “Saya Ahmad bin Muhamad bersetuju mewakilkan Pengarah Program Syarikat Qurban melaksanakan qurban saya, isteri saya Fatimah, anak saya Aishah dan Aminah untuk tahun ini (1434H) dengan bayaran RM2000.00 bagi empat bahagian beserta upah RM400.00 kerana Allah Ta‘ala.”

PERKARA YANG MESTI DIKETAHUI SEBELUM MEWAKILKAN URUSAN QURBAN

Perkara-perkara yang mesti diketahui oleh individu sebelum mewakilkan urusan qurban kepada persatuan, agensi atau syarikat adalah seperti yang berikut:

  • hendaklah mengetahui kadar harga bagi satu bahagian qurban yang ditawarkan oleh persatuan, agensi atau syarikat;
  • hendaklah mengetahui kadar upah yang diambil oleh persatuan, agensi atau syarikat;
  • hendaklah mengagihkan daging qurban mengikut hukum syarak;
  • hendaklah mengetahui orang yang akan menjadi wakil untuk menyembelih haiwan qurban.

PENGURUSAN QURBAN OLEH PERSATUAN, AGENSI ATAU SYARIKAT DALAM NEGARA

Pihak persatuan, agensi atau syarikat hendaklah menjelaskan perkara-perkara berikut:

  • urusan jual beli seperti akad, jenis haiwan qurban dan fizikal haiwan yang cukup syarat;
  • kadar harga bagi satu bahagian qurban yang ditawarkan;
  • kadar kos pengurusan (upah) yang diambil; (d) cara pengagihan dan penerima daging qurban.

PENGURUSAN QURBAN OLEH PERSATUAN, AGENSI ATAU SYARIKAT LUAR NEGARA

Pihak persatuan, agensi atau syarikat luar negara hendaklah menjelaskan perkara-perkara berikut:

  • urusan jual beli seperti akad, jenis haiwan qurban dan fizikal haiwan yang cukup syarat;
  • kadar harga bagi satu bahagian qurban yang ditawarkan oleh syarikat atau persatuan;
  • menetapkan kadar kos pengurusan semasa di awal akad bukan selepas akad;
  • menetapkan kos pengurusan yang terlibat di luar negara selepas akad adalah ditanggung oleh persatuan, agensi atau syarikat dan bukan pihak individu.

PENYERAHAN WANG KEPADA WAKIL BAGI QURBAN DI LUAR NEGARA

Apa-apa jumlah wang yang diberi kepada pihak pengurusan qurban yang dilantik sebagai wakil untuk menguruskan qurban di luar negara adalah terlaksana selagi mana wang berkenaan dibelanja mengikut akad yang telah dipersetujui. Akad tersebut hendaklah:

  • akad penyerahan dengan lafaz yang khusus, bukan lafaz am kerana lafaz am mengandungi ketidakjelasan (gharar);
  • menjelaskan tentang jenis, sifat dan kadar harganya;
  • orang yang menjadi wakil, tidak boleh mewakilkan kepada orang lain, kecuali mendapat izin daripada pewakil (muwakkil) atau wakil tidak mampu melaksanakannya.

QURBAN YANG BERCAMPUR DENGAN AQIQAH, HADIAH, NAZAR DAN SEMBELIHAN BIASA

Sekiranya berlaku percampuran qurban dan perkaraperkara lain, maka:

  • wajib dilakukan pengasingan antara daging bahagian qurban wajib (nazar) daripada daging bahagian qurban sunat, aqiqah, hadiah atau daging sembelihan untuk dijual, sebelum diagihkan kepada penerima jika terjadi perkongsian sedemikian. Langkah ini amat penting kerana daging qurban wajib (nazar), hendaklah diagihkan kesemuanya kepada yang berhak;
  • adalah lebih baik, pihak yang menguruskan qurban tidak mencampurkan antara urusan qurban wajib (nazar) dengan qurban sunat, aqiqah, hadiah atau daging sembelihan biasa.

PEMBERIAN HAIWAN QURBAN OLEH ORANG PERSEORANGAN, PERSATUAN, ATAU AGENSI

  • Pemberian atau sumbangan haiwan ternakan oleh orang perseorangan, persatuan, agensi, syarikat, jabatan atau kementerian kepada masyarakat Islam bagi tujuan qurban hendaklah diserahkan kepada jawatankuasa masjid atau surau untuk diuruskan oleh jawatankuasa yang dilantik.
  • Sesuatu pemberian atau sumbangan hendaklah dijelaskan akadnya terlebih dahulu sebelum menerima penyerahan, iaitu sama ada akad pemberian (hibah) sebagai hak milik atau akad wakalah untuk melantik satu pihak sebagai wakil menguruskan haiwan untuk qurban.

(a) Akad Pemberian atau Hibah Sebagai Hak milik Ke Atas Haiwan Qurban

  • Contoh lafaz hibah:

“Saya Ahmad bin Muhamad bersetuju menyerahkan sumbangan 30 ekor lembu qurban untuk tahun 1434H kepada jawatankuasa masjid/ surau untuk diuruskan”.

“Saya mewakili Kementerian yang bersetuju menyerahkan sumbangan 30 ekor lembu qurban untuk tahun 1434H kepada jawatankuasa masjid/ surau untuk diuruskan”.

  • Pihak jawatankuasa masjid/surau boleh memilih dan memberi keutamaan kepada golongan asnaf fakir miskin atau individu lain bagi mewakili bahagian qurban yang disertai.
  • Asnaf fakir miskin atau individu yang terpilih disunatkan mengambil daging tidak melebihi 1/3 daripada bahagian qurban yang disertai.
  • Pihak jawatankuasa masjid/surau dilarang melakukan perkara lain ke atas haiwan qurban kecuali untuk ibadah qurban sahaja.

(b) Akad Wakalah Sebagai Wakil Menguruskan Haiwan Ternakan Untuk Qurban

  • Pihak jawatankuasa masjid/surau hendaklah mengikut akad yang diamanahkan sebagai wakil mengurus haiwan ternakan untuk qurban sama ada dengan lafaz am atau lafaz khas.
  • Contoh lafaz am:

“Saya Ahmad bin Muhamad bersetuju melantik jawatankuasa masjid/surau sebagai wakil untuk menguruskan 10 ekor lembu sebagai sumbangan 70 bahagian qurban kepada penduduk kampung ini”.

  • Contoh lafaz khas:

“Saya mewakili Syarikat yang bersetuju melantik jawatankuasa masjid/surau sebagai wakil untuk menguruskan 10 ekor lembu sebagai sumbangan 70 bahagian qurban kepada  fakir miskin di kampung ini”.

  • Sekiranya perlu, pihak jawatankuasa masjid/surau boleh mengenakan kos pengurusan dengan kadar yang berpatutan kepada peserta ibadah qurban yang terpilih.
  • Asnaf fakir miskin atau individu yang terpilih disunatkan mengambil daging qurban tidak melebihi 1/3 daripada bahagian qurban yang disertai.

PEMBERIAN HAIWAN QURBAN OLEH ORANG BUKAN ISLAM

Pemberian, hibah atau sumbangan haiwan qurban oleh orang perseorangan, persatuan atau pertubuhan bukan Islam kepada masyarakat Islam bagi tujuan qurban hendaklah diuruskan seperti yang berikut:

  • Haiwan qurban tersebut hendaklah diserahkan kepada jawatankuasa masjid/surau untuk diuruskan.
  • Pihak jawatankuasa yang dilantik perlu memilih asnaf fakir miskin atau individu bagi mewakili bahagian qurban yang disertai.
  • Asnaf fakir miskin atau individu yang terpilih disunatkan mengambil daging qurban tidak melebihi 1/3 daripada bahagian qurban yang disertai.
  • Sekiranya perlu, pihak jawatankuasa masjid/surau boleh mengenakan kos pengurusan dengan kadar yang berpatutan kepada peserta ibadah qurban yang terpilih.

PENUTUP

  • Garis panduan ini diharap dapat membantu orang yang berhajat melakukan ibadah qurban sebagai persediaan awal sebelum melakukannya, termasuk mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan cara melakukan ibadah qurban di samping menjaga adab-adab yang ditetapkan.  Organisasi yang menguruskan qurban bagi pihak orang lain pula sewajarnya bersikap amanah dan tidak mengutamakan keuntungan sematamata. Ini kerana perbuatan menolong untuk menyampaikan hajat seseorang juga diberi ganjaran oleh Allah SWT.
  • Justeru, garis panduan ini diharap dapat mencapai objektif qurban sebagai satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT. Semoga amalan penyembelihan ibadah qurban yang dilakukan memberi kesan yang mendalam serta galakan kepada orang lain untuk berusaha melaksanakan qurban sebagai salah satu tuntutan dalam Islam.

RUJUKAN

Jabatan Mufti Perak

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *