Panduan Melakukan Ibadah Qurban (Cara Pembahagian)

Panduan Melakukan Ibadah Qurban
Share Artikel Ini Di Media Sosial

 

Panduan Melakukan Ibadah Qurban (Cara Pembahagian)

Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai panduan melakukan ibadah korban, hendaklah kita tahu pengertian Ibadah Qurban. Qurban ialah ibadah sembelihan haiwan ternakan seperti Unta, Lembu dan Kambing yang dilakukan pada hari raya Aidil Adha (10 Zulhijjah) yang dilakukan selepas solat Hari Raya dan pada hari-hari tasyriq berikutnya (11, 12, 13 Zulhijjah) bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ibadah Qurban Terbahagi Kepada 2 Hukum :

  • Sunat
  • Wajib – Korban wajib adalah ibadah yang diwajibkan kepada seseorang disebabkan janjinya dengan Allah SWT atau manusia untuk berbuat demikian seperti korban nazar. Daging korban nazar haram dimakan oleh pemilik dan ahli keluarganya.

 

Antara syarat-syarat melaksanakan Ibadah Qurban ialah:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Berkemampuan
  • Merdeka

 

Apa Dalil Pensyariatan Ibadah Qurban?

Berdasarkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. ketika peristiwa penyembelihan anaknya Nabi Ismail A.S yang telah digantikan dengan seekor Kibas dengan kuasa Allah S.W.T., maka Allah telah mensyariatkan Ibadah Qurban kepada umat Islam.

Ianya berdasarkan firman Allah S.W.T.:

 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Surah Al-Kauthar: 2)

 

وَلِكُلِّ اُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللّٰهِ عَلٰى مَا رَزَقَهُمْ مِّنْۢ بَهِيْمَةِ الْاَنْعَامِۗ فَاِلٰهُكُمْ اِلٰهٌ وَّاحِدٌ فَلَهٗٓ اَسْلِمُوْاۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِيْنَ

“Dan, bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan oleh Allah kepada mereka. Maka, Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh kepada Allah.” (Surah Al-Hajj: 34)

 

 

Apa Hukum Melaksanakan Ibadah Qurban?

Hukum melaksanakan Ibadah Qurban adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sangat digalakkan bagi mereka yang melepasi syarat-syarat Qurban. Makruh bagi mereka yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan Qurban.

 

Akan tetapi tidak berdosa bagi mereka yang tidak melaksanakan Ibadah Qurban walaupun tiada sebarang keunzuran.

 

Melaksanakan Ibadah Qurban adalah ibadah sunat yang sangat dituntut. Ibadah Qurban adalah Ibadah sunat yang sangat disukai Allah SWT.

 

Berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 

“Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Nahar (Hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang qurban), kerana ia (binatang qurban) itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah qurban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang qurban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu perelokkan olehmu niat serta binatang yang diqurbankan.” – (Riwayat al-Hakim)

 

 

Cara Pembahagian Daging Qurban

Sekiranya daging korban tersebut disembelih dengan niat sunat muakkad,  adalah sunat bagi yang berniat untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut.

Kredit Gambar Sinar Harian

Secara ringkasnya pembahagian tersebut adalah seperti berikut:

  • 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya;
  • 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin;
  • 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

Namun ini cumalah pembahagian yang biasanya diikuti masyarakat di Malaysia. Ada juga yang menyedekahkan kesemua daging korban dan mengambil sedikit sahaja bahagian untuk dirinya.

 

Cara paling afdhal adalah dengan menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban tersebut dan mengambil sedikit sahaja daripadanya sekadar mengambil berkat.

 

Baginda juga telah melakukan korban dengan cara tersebut:

 

فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

 

Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.

 

Hadis riwayat Muslim: (1218)

 

وَالأَفْضَلُ فِي الضَحِيَّةِ المَسْنُونَةِ : أَن يَتَصَدَّقَ بِأَكْثَرِهَا وَيَبْقَى لَهُ قَلِيلًا للبَرَكَةِ

Maksudnya: Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826)

 

Harus diingati pembahagian ini hanya untuk korban sunat sahaja.

 

Berbeza pula sekiranya yang berkorban itu berniat nazar korban. Selain daripada wajib dilaksanakan, pembahagiannya juga berbeza.

  • Individu yang telah bernazar korban wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya.
  • Ini daripada hadis diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah Ranha, Rasulullah bersabda:

 

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلَا يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia melakukan ketaatan tersebut. Manakala, barangsiapa yang bernazar untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT, maka janganlah dia melakukan kemaksiatan tersebut.

Hadis riwayat al-Bukhari: (6696)

 

Sekiranya seseorang itu telah memakan daging tersebut walaupun sebahagian, dia perlu mengeluarkan sejumlah wang mengikut kadar yang telah dimakan.

 

Tidak perlu lagi untuk dia untuk menyembelih haiwan yang lain sebagai ganti kepada bahagian yang telah dimakan tersebut. (Boleh dirujuk pada  al-Mu’tamad fi Mazhab al-Syafie, 2:485)

 

 

 

 

Baca Juga

Siapa Wajib Melakukan Qurban?

Skim MyDeposit Rumah Pertama

Cara Daftar Akaun SSPN-i

 

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *