MUS’AB BIN UMAIR (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)

MUS'AB BIN UMAIR (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

MUS’AB BIN UMAIR (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)

Baca Juga :SAYIDINA HAMZAH BIN ABDUL MUTALIB (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)

DUTA PERTAMA YANG DIUTUSKAN NABI MUHAMMAD SAW

 

“Sungguh ya Mus’ab, di masa yang lalu aku melihat engkau di Makkah hidup dengan mewah. Engkau kelihatan begitu tampan dengan memakai pakaian yang cantik lagi mahal. Tapi sekarang sungguh pilu melihat tiada kain untuk menutupi kepalamu kecuali sehelai kain yang bertampal-tampal.”

[Rasulullah SAW]

 

Siapakah gerangannya pemuda yang bernama Mus’ab bin Umair ini hinggakan namanya tercatat mewangi dalam sejarah Islam? Beliau adalah seorang pemuda tampan daripada keluarga bangsawan Quraisy dan turut dihormati kerana kebijaksanaan dan kepintarannya. Sebelum memeluk agama Islam, beliau tergolong sebagai pemuda impian kebanyakan gadis-gadis Quraisy. Beliau bukan sahaja digilai ramai kerana rupa beliau yang tampan, tetapi beliau juga dikenali sebagai pemuda yang suka memakai pakaian yang mahal serta mempunyai bau-bauan yang begitu harum semerbak.

 

Mus’ab bin Umair adalah daripada kaum Bani Abdul Dar, iaitu sebuah suku kaum dalam kabilah atau puak Quraisy. Ayahnya Umair tergolong sebagai seorang yang berharta. Ibunya pula bernama Khannas binti Malik, seorang perempuan yang bijaksana. Oleh sebab itu, Mus’ab dibesarkan dalam suasana hidup penuh mewah, dengan pakaian yang cantik dan mahal-mahal berserta wangi-wangian yang mengasyikkan. Beliau juga makan makanan yang lazat-lazat, yang tidak mampu dimakan oleh orang biasa. Semua orang di Makkah cukup mengetahui bagaimana Mus’ab dibesarkan oleh kedua ibu bapanya.

 

Bagaimanapun segala-galanya berubah apabila Mus’ab berkunjung ke Darul Arqam, yang menjadi pusat pengajian agama Islam ketika itu pada suatu hari. Mus’ab mendengar dengan penuh khusyuk tentang ajaran Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW. Bak kata pepatah, hanya jauhari jua yang mengenal manikam. Mus’ab yang memang tergolong sebagai seorang pemuda yang pintar ketika itu, mula melihat akan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, beliau tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk memeluk agama Islam.

 

Setelah memeluk agama Islam, Mus’ab mula berubah. Perubahan ini mula dikesan oleh ibunya dan akhirnya ibunya mendapat tahu bahawa putera kesayangannya itu telah memeluk agama Islam. Bukan main marah ayah dan ibu Mus’ab. Mus’ab telah dipukul oleh tangan tangan yang selama ini membelai dan memanjakannya. Beliau telah dipaksa untuk keluar dari agama Islam. Akibat keengganannya, beliau lalu dikurung oleh kedua orang tuanya. Ketika itu, bukan Mus’ab sahaja orang Islam yang diseksa. Ramai lagi orang-orang yang memeluk Islam seperti Bilal bin Rabah dan anggota keluarga Yasir serta lain-lain turut menerima seksaan. Bahkan mereka menerima seksaan daripada para pembesar Quraisy dengan cara yang lebih seksa, zalim dan amat menyakitkan. Ibu Ammar bin Yasir, Sumaiyah menjadi wanita Islam yang pertama mati syahid. Beliau telah disula di kemaluannya dengan lembing oleh Abu Jahal. Begitu juga dengan ayah Ammar iaitu Yasir yang turut syahid akibat seksaan yang tidak tertanggung oleh badannya.

 

Nabi Muhammad SAW telah memerintahkan penganut Islam untuk berhijrah ke Habsyah. Ketika itu Habsyah diperintah oleh seorang raja beragama Kristian yang amat baik hati lagi adil pemerintahannya. Baginda akhimya memeluk Islam setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Rombongan orang-orang Islam berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali, yang membabitkan orang-orang Islam diketuai Uthman bin Affan dan Jaafar bin Abi Talib. Berita tentang orang-orang Islam dibenarkan berhijrah ke Habsyah sampai ke telinga Mus’ab. Beliau akhirnya berjaya melepaskan diri dan ikut serta menyertai rombongan orang-orang Islam yang berhijrah ke Habsyah. Mus’ab sanggup meninggalkan segala kemewahan hidupnya dan menjadi seorang pelarian di sebuah negara asing demi menjamin kebebasan imannya. Beliau hanya pulang setelah berita pengislaman Sayidina Umar Al-Khattab sampai ke pengetahuan orang-orang Islam di Habsyah. Kerana menjangkakan bahawa seksaan ke atas orang orang Islam sudah mula berkurangan, ada orang-orang Islam yang mengambil keputusan untuk balik ke Makkah. Antara mereka ialah Mus’ab bin Umair.

 

Emak Mus’ab sungguh gembira apabila mendapat tahu berita kepulangan Mus’ab ke Makkah. Sangkanya Mus’ab sudah berubah dan sedia untuk keluar dari agama Islam. Walau bagaimanapun apa yang disangka oleh Khannas, ibu Mus’ab meleset sama sekali. Keimanan Mus ab tidak tergugat sama sekali. Dengan keadaan tubuhnya yang sudah kurus serta kulit yang agak sedikit gelap, Mus’ab tetap tidak berganjak apabila dipujuk oleh emaknya untuk keluar daripada agama Islam. Bahkan Mus’ab memberi amaran kepada ibunya bahawa dia akan melawan sekiranya emaknya itu bermaksud untuk menangkap dan mengurungnya sekali lagi.

 

Kembalinya Mus’ab ke Makkah membolehkan beliau terus mendampingi Nabi Muhammad SAW. Beliau menjalani kehidupan biasa dengan penuh kesederhanaan. Beliau juga tidak pernah berhenti memujuk ibunya untuk memeluk agama Islam. Beliau juga sama sekali tidak menyesali kerana terpaksa meninggalkan kehidupan mewah yang pernah dilaluinya selama ini.

 

Pernah pada suatu hari, Mus’ab lalu di hadapan Nabi Muhammad SAW dengan berpakaian compang-camping. Ketika itu baginda sedang berbual-bual dengan beberapa orang sahabat. Beberapa orang sahabat menggeleng gelengkan kepala apabila melihat keadaan Mus’ab yang sedemikian. Beliau lalu memberi salam kepada Rasulullah SAW lalu dijawab oleh baginda. Kemudian baginda berkata, “Puji-pujian bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Dahulu aku melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup penuh kemewahan di tengah-tengah kasih sayang ayah bondanya yang kaya raya. Sekarang dia telah meninggalkan segala kemewahan itu demi cintanya kepada Allah dan rasulNya.”

 

Apabila orang-orang dari Yastrib yang kemudiannya dikenal sebagal Madinah, datang memeluk Islam dan berjanji sumpah setia untuk membela baginda, Mus’ab menjadi salah seorang saksinya. Baginda Rasulullah SAW, lalu memerintahkan Mus’ab untuk berhijrah ke Yastrib bersama-sama rombongan kumpulan pertama orang orang Islam dari sana yang telah memeluk Islam. Jadilah beliau duta pertama yang dihantar oleh Rasulullah SAW ke sebuah negara lain untuk menyampaikan ajaran Islam.

 

Berkat daripada kebijaksanaan dan ketekunan Mus’ab menyebarkan dakwah Islamiah di Madinah, semakin ramai penduduknya yang memeluk agama Islam. Antara mereka ialah pembesar-pembesar suku kaum Ansar yang terkemuka dan berpengaruh seperti Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudhair. Kelembutan tutur katanya, keikhlasan dan kejernihan yang terlukis di wajahnya diikuti dengan kepetahan dan kebijaksanaan beliau menjadi kunci kepada kejayaan misi Mus’ab di Madinah. Mus’ab berjaya menyediakan satu platform yang kukuh bagi perkembangan Islam di Madinah. Keadaan inilah juga akhirnya yang mendorong kepada turunnya perintah Allah SWT yang membenarkan Nabi Muhammad SAW untuk berhijrah ke Madinah. Melalui asas-asas yang telah disediakan oleh Mus’ab bin Umair, Madinah menjadi pusat perkembangan Islam yang pesat dan kukuh berikutan daripada hijrah Nabi SAW.

 

Pembesar-pembesar kafir Quraisy tetap tidak berdiam diri. Bahkan mereka semakin bertekad untuk menghancurkan ajaran Islam dan membunuh Nabi Muhammad SAW di Madinah. Mereka tidak mahu Madinah menjadi pusat penyebaran agama Islam yang seterusnya bakal mengancam orang-orang Quraisy di Makkah. Mereka tetap berusaha dengan apa jua cara untuk menghancurkan agama Islam.

 

Masuk dua tahun Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, meletuslah Perang Badar yang membabitkan orang-orang Islam di Madinah dengan orang-orang Quraisy dari Makkah. Walaupun mempunyai bilangan tentera yang lebih ramai serta senjata yang lengkap, pasukan tentera Quraisy berjaya ditewaskan oleh pasukan tentera Islam yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW. Mus’ab ikut serta dalam pertempuran Ini. Beliau diberi kepercayaan oleh Rasulullah SAW untuk menjulang salah satu daripada panji-panji Islam. Beliau berjuang dengan penuh keberanian demi mempertahankan ajaran Islam serta untuk melindungi nyawa Nabi Muhammad SAW.

 

Kekalahan dalam Perang Badar menyebabkan para pembesar Quraisy semakin tidak berpuas hati dan tambah berdendam kepada Nabi Muhammad SAW dan umat Islam. Dipersiapkanlah satu angkatan yang lebih besar dengan segala kelengkapan. Dengan bala tentera berjumlah lebih kurang 10,000 orang, berangkatlah para pembesar Quraisy dengan tujuan untuk menyerang Madinah. Tentera Islam lalu keluar ke Bukit Uhud dan menunggu angkatan perang Quraisy di sana.

 

Kali ini sekali lagi salah satu daripada panji-panji Islam telah diserahkan oleh Rasulullah SAW kepada Mus’ab bin Umair. Dengan menjulang panji-panji Islam itu, Mus’ab dan tentera Islam menyerbu ke tengah-tengah pasukan tentera Quraisy. Akibat kuatnya asakan tentera Islam disertai dengan bantuan pasukan pemanah yang berkubu di atas Bukit Uhud, benteng pertahanan tentera kafir Quraisy menjadi goyah dan kelam-kabut. Dalam keadaan kekalahan yang mula terbayang dengan ramai tentera Quraisy mula melarikan diri, keimanan sesetengah tentera Islam mula tergugat. Mereka melihat begitu banyak harta yang ditinggalkan oleh tentera-tentera Quraisy lalu mula berebut sesama mereka. Apabila melihat keadaan ini, pasukan tentera pemanah pun tidak mahu ketinggalan lalu mengingkari perintah yang telah dikeluarkan oleh Rasulullah SAW iaitu jangan sekali-kali turun daripada Bukit Uhud.

 

Keadaan ini segera diambil kesempatan oleh pasukan berkuda tentera Quraisy yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid. Ketika itu beliau belum lagi memeluk agama Islam. Akibat serangan mengejut pasukan berkuda Quraisy, kemenangan yang sudah terbayang di kalangan tentera Islam mula berubah. Pasukan perang Islam menjadi kucar kacir. Ketika inilah Nabi Muhammad SAW mengalami kecederaan. Ketika inilah juga ramai tentera dan pahlawan Islam gugur syahid akibat serangan mengejut tentera Quraisy. Antara mereka termasuklah Sayidina Hamzah.

 

Bagaimanakah pula keadaannya dengan Mus’ab bin Umair? Apabila melihat keadaan tentera Islam yang mula kucar-kacir, Mus’ab menyerbu ke arah pasukan Quraisy sambil menjulang panji panji Islam yang dibawanya. Beliau bertakbir sambil menjerit kata kata perangsang untuk menaikkan semangat tentera Islam. Melihat keadaan itu, seorang tentera kafir Quraisy bernama Ibnu Qamiah lalu menerkam ke arah Mus’ab. Dia lalu mengayunkan pedangnya dan mencantas tangan kanan Mus’ab hingga putus. Mus’ab memeluk panji-panji Islam dengan tangan kirinya sambil bertakbir. Ibnu Qamiah sekali lagi menyerbu ke arah Mus’ab dan berjaya memancung tangan kirinya pula.

 

Gugurkah Mus’ab dengan tetakan demi tetakan itu? Tidak sekali-kali! Bahkan dengan suara yang lebih kuat, Mus’ab bertakbir sambil memuji kebesaran Allah SWT dan mengakui akan kerasulan Nabi Muhammad SAW sambil memegang panji-panji Islam dengan bahagian kedua-dua tangannya yang telah terpotong. Dipeluknya bendera tersebut ke dadanya. Apabila melihat keadaan itu, Ibnu Qamiah menjadi bertambah marah lalu diayunkan pedangnya ke tubuh Mus’ab bin Umair. Gugurlah pahlawan Islam itu dalam usia yang masih muda. Panji-panji Islam yang dijulangnya segera disambar oleh saudaranya yang bernama Abul Rum bin Umair.

 

Apabila tentera Quraisy mula mengundurkan diri dari medan perang. Rasulullah SAW lalu menyuruh tentera Islam mengumpulkan orang-orang Islam yang terbunuh dan cedera. Dilihatnya wajah seorang pemuda yang begitu dikenalinya. Pemuda itu ialah Mus’ab bin Umair. Air mata Rasulullah SAW berlinangan. Ketika jasad Mus’ab bin Umair hendak dikapankan, tidak ditemui sehelai kain kecuali kain yang bertampal. Kain tersebut agak pendek. Jika diangkat ke atas, akan kelihatan bahagian kaki beliau. Jika ditarik ke bawah, akan kelihatan bahagian kepala beliau. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar kain yang bertampal-tampal itu ditarik ke bahagian atas bagi menutupi kepala Mus’ab. Bahagian kakinya pula ditutupi dengan rumput-rumput. Pengebumian jenazah Mus’ab diuruskan oleh saudaranya Abul Rum bin Umair. Ketika inilah sekali lagi mata Rasulullah SAW digenangi air. Baginda dengan nada sedih dan pilu berkata yang bermaksud,

 

“Sesungguhnya ya Mus’ab, pada masa lalu aku melihat engkau di Makkah hidup dengan penuh kemewahan, memakai pakaian yang cantik lagi mahal. Rupamu antara yang paling tampan ketika itu. Pilu dan sedih sungguh hatiku ketika melihat kini kepalamu hanya ditutupi dengan sehelai kain yang bertampal-tampal.”

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *