Kesan Buruk Ketagihan Ketum (Pada Kesihatan)

Kesan Buruk Ketagihan Ketum (Pada Kesihatan)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

Kesan Buruk Ketagihan Ketum (Pada Kesihatan)

Orang ketagih ketum kena tahu fakta ini. Terdapat lebih 40 kompaun kimia yang telah dikenal pasti terkandung di dalam daun ketum ini termasuklah sekitar 25 kompaun alkaloid seperti rhynchophylline dan ajmalicine.Baca selanjutnya untuk mengetahui kesan buruk ketagihan ketum pada kesihatan.

Namun yang demikian, bahan psikoaktif utama yang terdapat dalam daun M. speciosa adalah mitragynine dan juga 7-hydroxymitragynine (7-HMG).

 

Kompaun mitragynine mewakili sekitar 60% daripada keseluruhan ekstrak alkaloid tumbuhan ini manakala 7-HMG membentuk sekitar 2% sahaja daripada jumlah alkaloid keseluruhan.

 

Baca Juga : Tips Hilangkan Ketagihan Ketum

Kesan sampingan dan kesan buruk jika ketagih ketum

Pada dos yang relatifnya rendah (sekitar 1 hingga 5 gram daun mentah), kesan utamanya bersifat perangsang (stimulant). Kesan sampingan yang boleh berlaku termasuklah pupil mata mengecut dan muka menjadi merah (akibat peningkatan aliran darah).

 

Kesan advers yang berkaitan dengan sifat perangsang pula adalah keresahan, mudah terganggu, gatal-gatal, loya dan muntah, hilang selera makan dan juga kerap membuang air kecil.

 

Pada dos yang sederhana, dalam lingkungan 5 hingga 15 gram daun yang mentah, kesan opioidnya mula dizahirkan.

 

Kesan advers tambahan jika ketagih ketum adalah jantung berdegup dengan lebih kencang (tachycardia) akibat daripada kesan perangsang yang lebih kuat dan juga kesan sampingan akibat opioid seperti sembelit, pening kepala, tekanan darah rendah, mulut menjadi kering dan juga berpeluh.

 

Pengambilan dalam dos daun ketum yang tinggi dan juga kerap berupaya untuk menghasilkan simptom seperti tangan terketar-ketar, anoreksia, susut berat badan, serangan sawan dan juga psikosis.

 

Apa yang lebih membahayakan untuk lelaki dan wanita yang kerap mengambil daun tumbuhan ini, khususnya dalam kandungan yang tinggi, akan mengalami gejala putus ubat atau gian selepas mereka berhenti pengambilan secara tiba-tiba.

 

Antara gejala gian yang berupaya untuk berlaku seandainya ketagih ketum adalah mudah disinggung, rasa tidak tenang, mual, tekanan darah tinggi, sukar untuk tidur (insomnia), hidung berair, sakit otot dan sakit sendi, dan juga cirit-birit.

 

Kesan Buruk Ketagihan Ketum Pada Kesihatan Adalah:

 

Keracunan hati (Liver toxicity)

Kesan keracunan daripada pengambilan tumbuhan ini adalah sesuatu yang secara relatifnya, jarang berlaku.

Namun yang demikian, campuran dengan bahan-bahan lain dan/ atau pengambilan yang kerap dan dalam jumlah yang banyak, mendedahkan seseorang itu kepada risiko keracunan hati.

Berdasarkan kajian terhadap tikus makmal, pemberian ekstrak metanol M. speciosa didapati berupaya untuk menghasilkan kecederaan hati, berdasarkan peningkatan dalam jumlah enzim penanda hati dan juga penanda hati yang lain.

Pemberian ekstrak tersebut pada dos 100, 500 dan juga 1000mg/kg menyaksikan peningkatan enzim ALT, AST, albumin, trigliserida dan juga paras kolesterol.

Berdasarkan dapat histopatologi, organ hati tikus-tikus tersebut menunjukkan kerosakan lobul poligon yang sederhana, pendarahan dalam sel-sel hati (hepatocyte) dan juga perkembangan struktur sinusoid.

Kerosakan hati ini pula akan menyebabkan berlaku kesesakan aliran cecair hempedu, membawa kepada terjadinya keadaan yang disebut sebagai ‘intra-hepatic cholestasis’.

Mereka yang mengalami keadaan ini akan mula perasan air kencing mereka berubah menjadi warna perang gelap (persis warna air teh o’) dan juga kulit mereka berubah warna kepada, menjadi semakin kuning. Kecederaan hati dikaitkan juga dengan kecederaan buah pinggang yang akut.

 

Daun ketum berupaya untuk menghasilkan kecederaan neurologi

Terdapat beberapa kes gangguan neurologi yang telah dikenal pasti berkaitan dengan kegunaan ketum dan airnya.

Namun yang demikian, sukar untuk ditentukan jika tumbuhan itu sendiri yang mengakibatkan serangan sawan atau ia berpunca daripada interaksi antara bahan aktif tumbuhan tersebut dengan bahan-bahan lain yang telah diambil oleh pengguna seperti nikotin dalam tembakau dan minuman beralkohol.

Ini kerana gangguan sawan yang telah dicatat lazimnya melibatkan mereka yang mempunyai beberapa masalah ketagihan lain, mereka yang membuat tambahan bahan lain kepada ketum atau mereka yang sedang cuba untuk berhenti daripada masalah ketagihan dadah.

Kajian dalam binatang pada tahun 2016 juga tidak berjaya untuk mengesan sebarang aktiviti yang persis sawan setelah diberikan ekstrak tumbuhan ini.

 

Keupayaan untuk menyebabkan kecederaan otot jantung

Pada tahun 2014, satu kajian telah dijalankan bagi melihat untuk mengenal pasti kadar daun ketum dan analognya yang diperlukan untuk menghasilkan sebarang kesan kecederaan terhadap sel-sel otot jantung (cardiomyocyte) yang diperoleh daripada sel stem pluripoten.

Kajian tersebut mendapati bahawa kandungan bahan aktif mitragynine pada dos 10 mM berupaya untuk menghasilkan pelengahan keupayaan tindakan (prolonged action potential) yang signifikan dan akhirnya mengakibatkan gangguan ritma jantung (arrhythmia).

Bahan aktif mitragynine juga dikatakan dapat mendorong kepada terjadinya gangguan ritma elektrik jantung ‘Torsade de Pointes’.

 

Kemungkinan berupaya menyebabkan kecederaan atau gangguan tiroid

Keupayaan ini dicadangkan berdasarkan laporan kes pesakit yang didiagnos dengan keadaan hipotiroid yang teruk. Selepas siasatan dan sejarah pesakit diambil, pesakit mengaku telah mengambil daun ketum dalam jangka masa yang lama untuk tahan sakit.

Selepas 4 bulan menggunakannya, pesakit ketagih ketum tersebut mencatatkan peningkatan berat badan sebanyak 27.2 kg (60 lbs), kerap merasa letih dan lesu yang melampau dan juga mempunyai ciri-ciri muka myxedematous.

Walaupun tiada kajian terperinci yang telah dijalankan untuk mengaitkan penggunaan tumbuhan tersebut dengan gangguan tiroid secara tepat, penulis laporan tersebut mencadangkan terdapat kemungkinan bahan aktif mitragynine yang terdapat dalam tumbuhan tersebut.

Ia berupaya untuk menghasilkan kesan penghalang terhadap kelenjar tiroid, khususnya setelah pemberhentian pengambilan bahan tersebut dan rawatan susulan didapati berkesan untuk menambah baik keadaan pesakit.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *