KENALI IKAN TOMAN SI PEMANGSA (GIANT SNAKEHEAD)

KENALI IKAN TOMAN SI PEMANGSA (GIANT SNAKEHEAD)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

KENALI IKAN TOMAN SI PEMANGSA (GIANT SNAKEHEAD)

 

PENGENALAN

KENALI IKAN TOMAN SI PEMANGSA (GIANT SNAKEHEAD)

Spesis Toman, Giant Snakehead atau Giant Mudfish (Channa micropeltes) adalah spesis yang paling besar dalam keluarga Channidae. Ianya mampu membesar sehingga lebih dari 1 meter (3kaki 3inci) panjang dan memcecah berat sehingga 20kg (44lb).

Tersebar luas di perairan air tawar di Asia Tenggara dan sebahagian dari wilayah-wilayah di India. Antara nama-nama lain bagi spesis ini ialah Red Snakehead, Redline Snakehead dan Ikan Toman (untuk bahasa Melayu dan bahasa Indonesia). Manakala dalam bahasa Thai ianya dikenali sebagai pla chado dan di India ianya dipanggil ‘Varal’ dalam bahasa Malayalam dan didalam bahasa Assam ia dipanggil ‘Goroi’.

 

Baca Juga: Hukum Menyertai Pertandingan Memancing

BIOLOGI

Ikan Toman juvenil biasanya berwarna merah dengan jalur sisi berwarna oren dan hitam yang jelas kelihatan selepas berusia 2 bulan. Semakin ia membesar, jalur sisi ini akan semakin hilang dan badan ikan Toman ini akan menyerlahkan warna dewasa mereka iaitu warna hijau gelap kehitaman, warna ungu dan tompokan putih atau hijau terang.

Warna-warna ini ada mempunyai perbezaan mengikut beberapa lokasi perairan. Ini adalah kerana faktor pemakanan, suhu air dan habitat itu sendiri. Anak ikan Toman yang ada dijual di kedai akuarium biasanya dipanggil ‘Red Snakehead’. Spesis Giant Snakehead ini mampu membesar sehingga 4 kaki panjang dan mempunyai berat sehingga 20kg. Spesis ini diketahui adalah yang paling agresif dan lasak diantara puluhan saudara sama spesis.

 

IKAN SEBAGAI MAKANAN

Di Malaysia dan Singapura, ikan Giant Snakehead / Channa micropeltes ini dikenali dengan nama Toman, manakala di negara jiran kita, ianya dikenali sebagai Gabus atau Haruan. (Jangan keliru dengan spesis yang lebih kecil iaitu spesis biasa yang juga dikenali sebagai Haruan di Malaysia – Channa Striata/Striatus).

Ikan Toman ini banyak boleh didapati di perairan-perairan awam dan kolam-kolam pancing di seluruh Malaysia. Spesis Giant Snakehead ini mampu memberi tentangan yang sangat mengujakan bagi pemancing yang gemarkan ikan yang lasak dan kuat melawan.Spesis ini juga ada dihidangkan sebagai hidangan lazat di restoran-restoran Cina dengan masakan-masakan yang menyelerakan. Di Thailand, ikan ini dihidangkan dengan pelbagai cara seperti dipanggang dan banyak dijual di gerai-gerai tepi jalan. Di sebahagian negara-negara di Asia, ikan ini juga terkenal sebagai membantu dalam kaedah perubatan. Unsur dalam tubuh badan ikan ini mampu menolong mempercepatkan sembuhnya luka selepas pembedahan serta selepas bersalin.

 

SEBAGAI PELIHARAAN

KENALI IKAN TOMAN SI PEMANGSA (GIANT SNAKEHEAD)

Spesis yang bersaiz juvenil biasanya dipanggil anak Toman atau Redline Snakeheads. Ianya agak popular sebagai ikan peliharaan dalam akuarium ataupun kolam peliharaan. Ada juga anak-anak ikan ini dijual sebagai makanan untuk ikan-ikan pemangsa yang lebih besar.

Spesis Toman ini memang terkenal sebagai spesis pemangsa yang rakus, yang akan mengejar dan membaham mangsa tanpa belas kasihan. Ada juga yang menggelar mereka ini sebagai ‘Jerung Air Tawar’. Namun begitu, ikan Toman ini masih lagi boleh dipelihara bersama dalam satu akuarium bersama dengan ikan Arowana, Oscar dan beberapa spesis ikan air tawar yang lain yang sama saiz.

Ikan Toman dijadikan ikan hiasan bagi peminat ikan pemangsa air tawar ini

 

SAUDARA MARA SPESIS SNAKEHEAD DI MALAYSIA

Selain dari Toman, ikan ini mempunyai ramai saudara rapat seperti ikan Kerandang, Jelai, Haruan, Jaloi atau Emperor Snakehead (Channa Maruliodes) yang mendiami kawasan- kawasan sungai, paya, tasik, lombong tinggal dan taliair di Malaysia.

Biasanya kawasan-kawasan yang mempunyai PH yang rendah akan terdapat spesis Haruan (Channa Striata/Striatus) yang mendiami lubuk-lubuk paya gambut yang berair gelap. Sepupunya yang juga berkongsi lokasi adalah Toman Bunga atau ikan Kerandang (Channa Marulloides) dan Bujuk (Channa lucius). Spesis-spesis kecil ini ini mampu membesar sehingga 68cm dan mencapai berat sehingga 3kg.

 

MEMANCING IKAN TOMAN

Kebanyakan spesis ini ditangkap atau dipancing menggunakan gewang atau umpan tiruan yang meniru diet pemakanan ikan ini seperti anak ikan, katak dan lain-lain. Spesis Toman, Haruan dan sepupu-sepupu mereka kebiasaanya akan naik ke permukaan air untuk mengambil udara untuk bernafas. Kesempatan ini diambil oleh pemancing untuk melontar gewang ke arah olak air dari pengambilan nafas oleh spesis Snakehead ini tadi. Gewang akan direnggut rakus dan kasar dan satu perlawanan antara manusia dan ikan yang akan mengalirkan adrenalin lebih laju dari biasa.

 

Ikan Toman yang agresif akan melarikan umpan anda ke lubuk yang dalam yang penuh berselirat dengan bangkar kayu dan pelbagai halangan lagi bagi melepaskan diri. Spesis yang terkenal dengan kerakusan dan ganas ini sememangnya idaman ramai pemancing ikan air tawar bagi mendapatkan kenikmatan tarikan hebatnya. Apatah lagi dengan kesediaan ikan ini menyambarkan gewang ‘topwater’ seperti popper ataupun pencil bait, sudah pasti ikan ini terus menjadi buruan para kaki menggewang. Ada juga pemancing yang berjaya mendaratkan ikan ini dengan gewang jenis ‘spinnerbait’, gewang plastik lembut (soft plastic bait), sesudu (spoon), Gewang Katak (jumpfrog) dan gewang berbentuk ikan (crankbait).

 

Saiz yang biasa dipancing di empangan, tasik atau lombong di Malaysia biasanya berskala dari 4 hingga 6 kilogram. Ada juga yang bersaiz lebih besar sehingga 10kg dapat dipancing menggunakan kaedah pancingan dasar berumpankan ‘anak ikan Keli’ yang bersaiz sejengkal atau pun umpan perut ayam dan daging lembu beku. Penggunaan kabel dawai adakalanya digunakan bagi mengelakkan daripada tali perambut putus kerana ketajaman gigi dan kelasakan ikan Toman ini. Namun bagi spesis sepupunya yang lain, kabel tidak ada digunakan untuk mengikat perambut pancing. Untuk pemancing yang menggunakan pancing layang, umpan tiruan jenis popper-fly kerap digunakan untuk menjerat spesis ini. Set yang sering digunakan biasanya pada skala 8wt-9wt dengan tippet sehalus 10lb-20lb sehingga 40lb.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *