JAAFAR BIN ABI TALIB (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)

JAAFAR BIN ABI TALIB (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

JAAFAR BIN ABI TALIB (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)

 

“Akulah wali kepada anak-anaknya di dunia dan di akhirat” [Sabda Rasulullah SAW]

 

“Wahai tuanku, dahulu kami adalah orang-orang yang jahil. Kami menyembah patung dan memakan bangkai. Kami juga mengikut hawa nafsu, memburukkan ikatan kekeluargaan. mengabaikan jiran-jiran, dan yang berkuasa di kalangan kami menelan golongan yang lemah. Begitulah keadaan kami sehinggalah Allah mengutus seorang utusanNya kepada kami.”

[Ucapan Jaafar bin Abi Talib di hadapan Najasyi. Raja Habsyah]

 

Jaafar bin Abi Talib adalah sepupu kepada Nabi Muhammad SAW. Abu Talib, yang banyak membantu dan membela baginda ketika berhadapan dengan pelbagai ancaman daripada pembesar Quraisy. Jaafar adalah abang sulung kepada Ali bin Abi Talib, seorang sahabat besar dan juga suami kepada puteri kesayangan baginda iaitu Fatimah binti Muhammad Rasulullah SAW.

 

Jaafar ketika kecil telah dipelihara oleh bapa saudaranya laty Sayidina Abbas bin Abdul Mutalib, sementara Sayidina Ali pula dipelihara oleh Nabi Muhammad SAW. Ketika itu Nabi Muhammad SAW telah berkahwin dengan Sayidatina Khadijah binti Khuwaid ra. Hal ini adalah atas inisiatif yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW bagi membantu Abu Talib yang dalam keadaan kesusahan hidup dan mempunyai anak yang ramai.

 

Jaafar bin Abi Talib tergolong antara pemuda yang paling awal memeluk Islam. Beliau memeluk Islam tidak berapa lama setelah adiknya Sayidina Ali memeluk agama Islam, iaitu sekitar tahun 613 Masihi atau kira-kira sembilan tahun sebelum peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Beliau keluar daripada rumah bapa saudara yang membela beliau iaitu Sayidina Abbas setelah beliau dewasa dan berkahwin dengan Asma binti Umais. Ketika itu penganut-penganut agama Islam terdedah kepada penyeksaan par pembesar kafir Quraisy.

 

Pada suatu hari, Jaafar telah mendapat tahu tentang rancangan orang-orang Islam untuk berhijrah ke Habsyah. Beliau lalu berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan meminta keizinan daripada baginda untuk turut sama berhijrah. Baginda mengizinkan Jaafar berbuat demikian lalu berhijrahlah Jaafar bersama-sama isterinya serta sekumpulan orang Islam. Di Habsyah hiduplah Jaafar dan isterinya bersama-sama orang-orang Islam yang lain dalam keadaan yang susah serta serba kekurangan. Walau bagaimanapun, mereka gembira kerana dapat mengamalkan ajaran Islam tanpa sebarang gangguan. Peristiwa penghijrahan orang-orang Islam ke Habsyah menyebabkan pembesar-pembesar Quraisy tidak dapat duduk diam. Mereka berusaha agar orang-orang Islam diusir keluar dari Habsyah atau dipenjarakan oleh Raja Habsyah.

 

Menurut ahli sejarah, para pembesar Quraisy telah menghantar dua orang utusan berjumpa dengan Raja Habsyah yang bernama Negus atau Najasyi. Kedua-dua utusan tersebut bernama Abdullah ibnu Abu Rabiah dan Amru Ibn Al-As. Kedua-dua mereka membawa hadiah yang banyak untuk dipersembahkan kepada Raja Najasyi. Setibanya di istana Raja Najasyi, kedua-dua mereka telah memfitnah orang-orang Islam dan memburuk-burukkan ajaran Islam. Raja Najasyi seorang yang adil dan bijaksana. Walaupun baginda beragama Kristian, baginda tidak mempercayai bulat-bulat apa yang diceritakan oleh utusan-utusan Quraisy. Oleh itu, baginda telah mengarahkan agar orang-orang Islam diperintahkan menghadap baginda. Maka berlakulah soal jawab di antara baginda dengan jurucakap orang orang Islam di Habsyah iaitu Jaafar bin Abi Talib. Antara lain, baginda bertanya kepada Jaafar tentang ajaran Islam serta tentang peribadi Nabi Muhammad SAW.

 

Antara lain, inilah yang dikatakan oleh Jaafar bin Abi Talib semasa menjawab beberapa pertanyaan Raja Najasyi,

 

“Kami kenal benar akan keturunannya (Nabi Muhammad SAW), kejujurannya, sifat amanah dan kesucian maruahnya. Dia mengajak kami kepada Allah, mentauhidkan Allah dan menyembah Allah. Lalu, kami meninggalkan agama nenek moyang kami. Kami meninggalkan penyembahan batu dan berhala. Kami hanya menyembah Allah. “Dia (Rasulullah SAW) juga mengarahkan kami untuk jujur dalam percakapan, menunaikan janji, menjaga ikatan persaudaraan, berbuat baik kepada jiran dan menahan diri kami daripada menumpahkan darah dengan zalim. Dia juga melarang kami berperangai menurut hawa nafsu, berkata-kata buruk, memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang suci.”

 

Jawapan yang diberikan oleh Jaafar menyebabkan Raja Najasyi semakin tertarik untuk mengetahui ajaran Islam dengan lebih lanjut. Baginda lalu mengarahkan agar Jaafar membacakan beberapa wahyu yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Jaafar lalu membaca beberapa ayat Quran dalam surah Maryam yang menyentuh tentang kisah Nabi Isa dan ibunya, Maryam. Sebaik sahaja mendengar bacaan tersebut, baginda menjadi begitu terharu. Beberapa orang paderi yang turut berada di dalam istana mula menangis. Baginda lalu bertitah untuk membenarkan orang-orang Islam terus tinggal di Habsyah. Baginda turut memberi jaminan sekali-kali tidak akan mengganggu atau mencederakan mereka.

 

Kedua-dua utusan kafir Quraisy itu masih tidak berputus asa Mereka telah merasuah para paderi dan beberapa orang pembesar Raja Najasyi. Sekali lagi mereka masuk menghadap Raja Najasy keesokan harinya. Kali ini mereka memfitnah orang-orang Islam. Kepada Raja Najasyi, mereka memberitahu bahawa orang-orang Islam menganggap Nabi Isa adalah seorang hamba. Raja Najasyi memanggil Jaafar dan orang-orang Islam sekali lagi. Kepada mereka ditanyakan siapakah Nabi Isa yang sebenarnya. Jaafar menjawab dengan tenang Kata beliau, “Nabi kami memberitahu kami bahawa Nabi Isa adalah seorang pesuruh Allah.” Raja Najasyi amat berpuas hati dengan jawapan tersebut. Baginda lalu mengembalikan semua hadiah y telah diberikan oleh kedua-dua utusan kafir Quraisy. Baliklah kedua dua utusan yang dikirim oleh pembesar-pembesar Quraisy membawa misi mereka yang gagal. yang

 

Apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, baginda telah menghantar Amru bin Umaiyah menghadap Raja Najasy. Kepada Raja Najasyi, Rasulullah SAW menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas layanan baik yang diberikan terhadap orang-orang Islam. Rasulullah SAW juga menyatakan hasrat baginda untuk menjemput orang-orang Islam balik ke Madinah. Berangkatlah Jaafar bin Abi Talib bersama-sama dengan orang-orang Islam yang selama ini tinggal di Habsyah, ke Madinah. Kesemua mereka berangkat pulang pada tahun ke-7 hijrah dan selamat tiba di Madinah ketika Nabi Muhammad SAW dan orang-orang Islam baru selesai memerangi orang-orang Yahudi di Khaibar. Jaafar bin Abi Talib disambut serta dipeluk oleh baginda dengan penuh kerinduan. Diciumnya anak-anak Jaafar sambil baginda berkata, yang bermaksud,

 

“Saya tidak tahu mana yang lebih menggembirakan, kepulangan Jaafar atau kemenangan tentera Islam di Khaibar.” Ketika Jaafar bin Abi Talib dan rombongannya tiba di Madinah, orang-orang Islam sudah berada dalam keadaan yang lebih kuat. Nabi Muhammad SAW baru sahaja menandatangani Perjanjian Hudaibiyah dengan orang orang Quraisy di Makkah. Baginda mula menghantar utusan kepada raja-raja dan para pembesar di seluruh wilayah Arab menyeru untuk beriman kepada Allah SWT. Utusan turut dihantar kepada Raja Bani Ghassan. Malangnya utusan baginda itu telah dibunuh bahkan mereka telah mengejek-ejek Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW segera membentuk satu angkatan perang untuk mengajar kebiadaban Raja Bani Ghassan tersebut. Angkatan perang tersebut terdiri daripada kira-kira 3,000 orang tentera Islam. Zaid bin Harithah telah dilantik untuk mengetuai angkatan perang tersebut dengan dibantu oleh Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Abi Rawahah. Turut serta dalam pasukan tersebut ialah Khalid Al-Walid, yang baru sahaja memeluk agama Islam.

 

Kepada pasukan tentera tersebut, Nabi SAW bersabda yang bermaksud,

 

“Saya telah melantik Zaid bin Harithah untuk menjadi panglima besar tentera Islam. Sekiranya Zaid gugur syahid, hendaklah Jaafar bin Abi Talib menggantikannya. Sekiranya Jaafar gugur syahid, hendaklah Abdullah bin Abi Rawahah mengambil alih pucuk pimpinan tentera Islam.”

 

Berbekalkan pesanan dan kata-kata nasihat yang diberikan oleh Rasulullah SAW, berangkatlah Jaafar bin Abi Talib ke medan perang Muktah. Di situ angkatan perang Islam terpaksa berhadapan dengan pasukan tentera musuh yang besar, dengan kekuatan lebih daripada 100 ribu orang. Walaupun mempunyai bilangan tentera yang jauh lebih kecil, tentera-tentera Islam tidak sedikit pun berasa gentar. Berbekalkan keimanan yang kuat terhadap Allah SWT, berlakulah pertempuran yang hebat di antara kedua-dua pasukan. Zaid bin Harithah dengan dibantu oleh Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Abi Rawahah mengemudi tentera Islam menggempur tentera musuh. Setelah berjaya membunuh ramai tentera musuh, akhirnya gugurlah Zaid bin Harithah, panglima tentera Islam. Gugur syahid bekas hamba sahaya yang kemudian menjadi anak angkat Rasulullah SAW itu.

 

Jaafar bin Abi Talib yang masih terngiang-ngiang akan pesanan Rasulullah SAW di telinganya, segera menyambar panji-panji Islam yang dipegang oleh Zaid. Beliau menyerbu ke arah tentera musuh dengan beraninya. Beliau berjaya membunuh ramai tentera musuh dan memporak-perandakan pergerakan mereka. Hal ini menyebabkan tentera musuh beramai-ramai mengepung Jaafar bin Abi Talib. Dalam keadaan riuh-rendah itu, pedang seorang tentera musuh telah singgah di tangan kanan Jaafar lalu putuslah tangan kanannya itu. Jaafar terus mara sambil menjulang panji-panji Islam dengan tangan kirinya sehinggalah putus pula tangan kirinya itu akibat terkena ayunan pedang tentera musuh. Dengan saki baki kedua tangannya yang terpotong, Jaafar mendakap panji-panji Islam sambil terus menyerbu ke arah tentera musuh. Apabila tentera-tentera musuh melihat keadaan Jaafar yang belum tewas, segeralah mereka menetakkan pedang ke arah badan Jaafar. Gugur syahidlah Jaafar bin Abi Talib di bumi Muktah.

 

INFO SEJARAH

 

Jaafar bin Abi Talib gugur syahid di Perang Muktah, yang sekarang ini terletak di Jordan. Makam beliau boleh dilawati di negara tersebut. Jaafar bin Abi Talib gugur syahid dalam usia beliau yang masih muda, iaitu 33 tahun. Dalam sejarah Islam, Jaafar bin Abi Talib juga dipanggil sebagai Jaafar At-Tayyar. Beliau meninggalkan tiga orang putera dan seorang isteri iaitu Asma binti Umais..

 

Sebaik sahaja Jaafar bin Abi Talib gugur, Abdullah bin Abi Rawahah segera tampil memegang panji-panji Islam. Abdullah bin Abi Rawahah juga berjuang dengan penuh berani sehingga akhirnya beliau turut gugur syahid, mengikuti jejak Zaid bin Harithah dan Jaafar bin Abi Talib. Menurut kitab sejarah yang muktabar, peristiwa gugur syahidnya tiga orang panglima besar tentera Islam ini telah dapat dilihat oleh baginda Rasulullah SAW. Ia digolongkan sebagai salah satu daripada mukjizat baginda. Ketika itu baginda sedang menghadapi orang-orang Islam di Madinah. Baginda bersabda yang bermaksud,

 

“Pertempuran berlaku dengan sengitnya. Panji-panji Islam dipegang oleh Zaid bin Harithah. Zaid bin Harithah gugur syahid lalu panji-panji Islam dipegang oleh Jaafar bin Abi Talib. Jaafar bin Abi Talib berjuang dengan berani sehingga dia akhirnya turut syahid. Lalu tampillah Abdullah bin Abi Rawahah, memegang panji-panji Islam. Beliau juga menurut jejak langkah sahabat sahabatnya lalu gugur syahid. Sekarang ini panji-panji Islam dipegang oleh sebilah daripada pedang-pedang Alah…”

 

Orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW sebagai ‘sebilah daripada pedang-pedang Allah’ itu ialah Khalid bin Al-Walid. Daripada sabda Rasulullah SAW inilah Khalid bin Al-Walid menerima julukan ‘Pedang Allah’ (Saifullah). Menurut ahli-ahli sejarah, sebaik sahaja menerima panji-panji Islam, Khalid bin Al-Walid telah menyusun taktik bagi membolehkan tentera Islam mengundurkan diri tanpa dikejar oleh tentera musuh. Apabila orang-orang Islam mengecam taktik pengunduran yang dilakukan oleh Khalid Al-Walid itu, Rasulullah SAW membela beliau dengan mengatakan Khalid sebenarnya tidak salah. Beliau mengundurkan diri untuk menyusun barisan tentera Islam yang sudah kucar-kacir supaya kelak dapat kembali untuk mengalahkan tentera musuh. Hal ini benar-benar terjadi kemudiannya apabila Khalid berjaya memimpin tentera Islam mengalahkan tentera Rom pada zaman kekhalifahan Sayidina Abu Bakar.

 

Sebaik sahaja Rasulullah SAW mendapat tahu berita gugurnya, baginda segera ke rumah Jaafar. Beliau lalu memeluk dan mencium anak-anak sepupunya itu. Melihat keadaan baginda yang seakan bersedih, isteri Jaafar segera mengetahui akan kematian suaminya. Menangislah Asma binti Umais dengan sekuat hatinya sehingga jiran jiran berdatangan untuk melihat apa yang berlaku. Rasulullah SAW lalu menyuruh jiran-jiran Jaafar untuk menghiburkan hati Asma dan anak-anaknya yang sedang kesedihan dan membantu menyediakan makan minum mereka.

 

Mengenai Jaafar, baginda ada bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya saya melihat Jaafar di dalam syurga. Dia memiliki dua sayap yang berlumuran dengan darah hingga kelihatan berkilat-kilat bulu di pangkal sayapnya.” Dalam satu riwayat yang lain, dikatakan Jaafar memiliki dua sayap daripada permata yang berkilau. Pada suatu hari yang lain, Asma binti Umais datang menemui Rasulullah SAW bersama ketiga-tiga puteranya. Beliau mengingatkan kepada Rasulullah SAW akan keadaan anak-anaknya yang telah menjadi yatim. Kepada Asma, baginda berkata,

 

“Engkau bimbang mereka akan ditimpa kemiskinan dan kemelaratan, bukan? Janganlah kamu susah dan bersedih hati. Akulah yang akan menjadi wali mereka di dunia dan di akhirat nanti.”

 

Baca Juga : MUS’AB BIN UMAIR (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)

SAYIDINA HAMZAH BIN ABDUL MUTALIB (KISAH PAHLAWAN DALAM ISLAM)

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *