HAIWAN TERANCAM DI MALAYSIA : KRISIS KELESTARIAN

HAIWAN TERANCAM DI MALAYSIA : KRISIS KELESTARIAN
Share Artikel Ini Di Media Sosial

HAIWAN TERANCAM DI MALAYSIA : KRISIS KELESTARIAN

tahukah anda senarai haiwan yang terancam di malaysia? Setiap tahun, tidak cukup dengan laporan kepupusan hidupan liar, tetapi badan bukan kerajaan NGO turut menggembleng tenaga dalam usaha memulihara spesies terancam dan juga memberi kesedaran kepada orang awam. Biarpun pelbagai usaha yang dipergiat demi menjaga kelestarian alam semulajadi, namun masih ramai yang tidak peduli. Kepupusan haiwan berlaku di seluruh dunia tanpa mengenal haiwan dan spesis. Masalah ini sangat membimbangkan dan boleh menjejaskan ekosistem semula jadi sekaligus mengancam kehidupan yang lain.

Berikut adalah senarai 12 haiwan yang terancam di malaysia :

DUGONG

Sejak penemuannya pada lewat 1960-an, dugong merupakan haiwan yang semakin terancam saban tahun.Mamalia yang jarang ditemukan itu, dilaporkan hanya tinggal 100 ekor sahaja di Malaysia pada 2016 di seluruh negara. Hakikatnya, bilangan populasi mamalia akuatik itu amat sedikit dengan kebanyakannya didapati di perairan negeri Johor, Sarawak dan Sabah.

Dianggarkan hanya tinggal 40 hingga 50 ekor di Johor, manakala 20 hingga 30 ekor di Sabah dan juga Sarawak.

TENGGILING

Tenggiling adalah haiwan yang mempunyai ekor pregensil dan gigi yang sikit, biasanya memakan semut dan anai-anai yang diambil dari sarang di pokok, tanah atau di bawah tanah dengan sarang serangga dibuka dengan kakinya yang kuat dan menjilat dengan lidahnya yang panjang.

Dikenali sebagai Manis javanica dalam bahasa saintifiknya, tenggiling antara mamalia yang sering dirampas daripada urus niaga haram hidupan liar di Asia dan kini diambang kepupusan.

BURUNG BOTAK UPEH

Satu lagi haiwan yang tergolong dalam spesis sangat terancam adalah Burung Botak Upeh atau nama saintifiknya ‘Mycteria Cinerea’. Burung yang lebih popular dengan panggilan burung bangau ini ialah burung randuk besar dan merupakan spesis yang terancam dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar Malaysia.

Perkembangan burung ini dipantau sejak tahun 1980-an lagi dan ia mendapati bahawa jumlahnya semakin menurun dan sangat membimbangkan.

UNGKA TANGAN PUTIH

Tergolong dalam keluarga ungka (Hylobatidae) dengan nama saintifik Hylobates lar, Ungka Tangan Putih adalah spesis ungka yang tinggal di barat daya China dan Myanmar timur ke Thailand, serta barat laut Sumatera dan seluruh Semenanjung Malaysia.

Haiwan unik ini berada dalam ancaman kepupusan disebabkan oleh pelbagai perkara, termasuklah ia diburu untuk mendapatkan dagingnya. Tidak cukup dengan itu, untuk mengangkap anak-anak ungka ini bagi dijadikan haiwan peliharaan, ungka dewasa kadang-kala dibunuh.

TAPIR MALAYA

Tapir Malaya dengan nama saintfik Tapirus indicus adalah satu-satunya spesis tenuk yang berasal dari Asia. Ia biasanya ditemui di sepanjang sempadan barat Thailand-Myanmar hingga ke selatan Semenanjung Malaysia serta Sumatera di Indonesia.

Tapir ini disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) sejak tahun 2008, populasinya dianggarkan terdiri daripada kurang 2,500 ekor spesis dewasa.

SELADANG

Seladang adalah antara haiwan yang sangat sinonim dengan negara kita dan ia boleh dikatakan mudah untuk ditemui satu ketika dahulu. Ini kerana haiwan bovin besar yang memiliki kulit gelap seperti berminyak ini hidup secara liar di hutan hujan tropika Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Seladang adalah mamalia darat kedua terbesar di Malaysia selepas gajah. Punca utama seladang diancam kepupusan adalah disebabkan pemburuan yang sangat tidak terkawal. Usaha untuk meningkatkan populasi seladang dilakukan oleh Pusat Konservasi Hidupan Liar (Seladang) di Jenderak Selatan, Pahang melalui pembiakan dalam kurungan.

ORANG UTAN

Orang utan adalah tiga spesies mawas ekstan yang berasal dari Malaysia dan Indonesia, yang biasanya ditemui di kawasan merangkumi hutan-hutan hujan Borneo dan Sumatera. Penurunan drastik dilihatkan berlaku kepada spesis ini di mana populasi orang utan pada tahun 1986 dianggarkan sebanyak 20,000 ekor, namun pada tahun 2004 populasinya hanyalah 11,000 ekor.

Antara faktor yang menyumbang kepada masalah kepupusan orang utan termasuklah kemusnahan habitat akibat penebangan hutan yang tidak terkawal untuk tujuan pertanian dan pembalakan seperti di Pulau Borneo. Selain itu, aktiviti pemburuan haram juga menyebabkan populasi orang utan menurun.

HARIMAU MALAYA

Hanya terdapat di Semenanjung Malaysia terutamanya di negeri seperti Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu, nama saintifik Panthera tigris jacksoni atau lebih popular dengan nama Harimau Malaya adalah subspesis harimau belang yang masih wujud di dunia.

Walaupun ditakuti, namun harimau ini kini dikatakan sebagai haiwan yang lemah, terancam dan penakut akibat pemburuan tidak terkawal, menurut Pensyarah Kanan Sosio Perundangan dan Sains Kelestarian di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Istajib Mokhtar.

Ketika ini, sembilan subspesis harimau belang sedang terancam oleh kepupusan dan tiga subspesis yang lain telah pupus.

Tinjauan Harimau Kebangsaan sekitar tahun 2018 menunjukkan bahawa jumlah Harimau Malaya adalah kurang dari 200 ekor. Jumlah ini sangat membimbangkan kerana penurunan ketara berlaku di mana kajian ilmiah sebelum ini yang dilakukan pada tahun 1950-an menunjukkan jumlahnya sekitar 3,000 ekor.

KAMBING GURUN

Kambing gurun juga termasuk dalam spesis haiwan yang terancam di Malaysia. Masalah ancaman kepupusan haiwan liar semakin bertambah dengan kambing gurun menjadi spesis terbaharu yang dilihatkan mengalami penurunan populasi. Bukan sahaja sukar ditemui di habitat semula jadi, tetapi jumlah populasi kambing gurun dari keluarga Bovidae ini juga sangat sedikit iaitu sekitar 200 hingga 500 ekor sahaja di seluruh Semenanjung Malaysia.

Selain dijadikan sebagai sumber makanan, haiwan yang hidup berkeliaran di kawasan bukit berbatu ini juga menjadi mangsa pemburuan bagi menghasilkan minyak yang mana dikatakan mempunyai fungsi perubatan, namun tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

KANCIL

Kancil juga termasuk dalam spesis haiwan yang terancam di Malaysia.Kancil atau nama saintifiknya Tragulus kanchil, haiwan comel popular ini dikenali sebagai kancil dan juga pelanduk. Ia merupakan spesis terkecil antara empat spesies yang masih wujud dalam keluarga Tragulidae serta infraorder Tragulina.

Sama seperti spesies-spesies lain dalam famili Tragulidae, kancil tidak mempunyai tanduk, dan kakinya pendek dan kurus. Jika ancaman kepupusan kancil tidak dibanteras, tidak mustahil generasi akan datang tidak lagi dapat melihat spesis ini.

GAJAH PYGMY

Gajah Kerdil Borneo atau nama saintifiknya Elephas maximus borneensis atau juga dikenali sebagai Gajah Kalimantan di Indonesia, merupakan satu sub-spesies Gajah Asia yang tinggal di Pulau Borneo.

Manusia yang rakus dan menghapuskan habitat gajah ini adalah salah satu sebab utama mengapa kepupusan haiwan ini. Sebahagian kawasan habitat gajah yang dahulunya dilitupi hutan telah dijadikan sebagai ladang penanaman kelapa sawit, menurut Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

Baki kawasan hutan di Sabah tidak semuanya sesuai menjadi habitat gajah ini kerana berbukit bukau.

PENYU

Akibat aktiviti manusia yang rakus, hidupan laut seperti penyu juga mengalami nasib yang sama diancam kepupusan. Haiwan yang menjadi ikon negeri pantai timur Terengganu ini semakin pupus akibat menjadi mangsa penangkapan ikan pari.

Akibat kepupusan yang berpunca dari aktiviti memakan telur penyu, negara kita kerugian kerana tidak lagi dapat menyaksikan salah satu spesis tersebut iaitu penyu belimbing.

 

 

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *