Cara Tanam Pokok Betik  (Betul dan Mudah)

Cara Tanam Pokok Betik  (Betul dan Mudah)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

Cara Tanam Pokok Betik  (Betul dan Mudah)

Bagaimanakah cara tanam pokok betik yang betul? Artikel ini akan membincangkan cara-cara yang betul untuk tanam betik dari segi penyediaan tanah, benih, pembajaan dan sebagainya.

Betik ataupun dikenali sebagai Papaya merupakan salah satu tanaman tropika dan sesuai ditanam di Malaysia. Dengan pengurusan tanaman yang cekap, jangka produktiviti betik boleh mencapai sehingga 1-4 tahun walaupun ianya sejenis tanaman singkat masa sederhana.  Ianya telah diusahakan secara aktif di Malaysia berikutan daripada salah satu komoditi yang diusulkan serta perlu diberi fokus sebagai peneraju transformasi pertanian.

 

Baca Juga : Jana Pendapatan Dengan Tananam Serai

Varieti Betik di Malaysia

Terdapat beberapa varieti betik yang popular dan mendapat permintaan ramai di Malaysia, antaranya ialah:

  • Sunrise Solo
  • Sitiawan
  • Eksotika

 

Penyediaan Tanah

Pada peringkat awal penyediaan tanah, kawasan yang hendak diusahakan hendaklah dibersihkan dan dibajak menggunakan mekanisasi ladang yang bersesuaian. Dengan menggunakan bajak, sediakan batas tanaman dan lubang dengan kedalaman 30cm x 30cm lebar.

Lubang tersebut juga hendaklah diisi dengan bahan organik seperti tahi ayam atau kompos bagi meningkatkan kandungan organik pada tanah. Untuk penyediaan batas, panjangnya adalah bergantung kepada keluasan kawasan. Aktiviti penyediaan tanah perlulah dilaksanakan 1-2 minggu sebelum penanaman.

Antara sebab-sebab penyediaan tanah adalah satu proses yang penting adalah untuk memperbaiki struktur tanah dan saliran. Pengapuran juga perlu dijalankan setelah beberapa proses tersebut selesai dijalankan. Ini bertujuan bagi meneutralkan kadar pH tanah.

 

Penyediaan Benih

Betik boleh ditanam menggunakan biji benih. Tidak kira samada anda menggunakan biji benih hasil daripada buah betik yang telah anda beli di pasaran, ianya masih boleh digunakan untuk penanaman. Kebiasaannya, biji benih betik perlu disemai terlebih dahulu di dalam bekas media yang bersesuaian seperti pot tray dengan menggunakan cocopeat sebelum ditanam pada tanah.

Nisbah 3:2:1 tanah campuran juga boleh digunapakai untuk penyediaan media tanah. Sebelum melakukan penyemaian, biji benih yang telah disediakan perlu direndam di dalam racun kulat bagi mencegah serangan kulat. Setelah itu, ianya sudah boleh disemai dan dibiarkan selama 6-8 minggu dalam tempoh semaian dan boleh ditanam terus ke tanah.

 

Penanaman Betik

Setelah tamat tempoh semaian, benih akan dipindahkan dan ditanam terus pada batas. Untuk menjalankan aktiviti, anda hanya perlu mencabut anak benih dalam pot tray dengan berhati-hati supaya tidak menyebabkan akar terputus. Kemudian, 3 pokok perlu disemai ke dalam setiap lubang pada batas yang telah disediakan.

Hal ini kerana, dikhuatiri tidak semua pokok yang akan tumbuh sempurna dan berkemungkinan mati. Oleh itu, dengan cara tersebut penyulaman pada lubang baru akan dilaksanakan selepas sekiranya terdapat benih yang mati. Selepas ditanam, pastikan tanaman disiram secukupnya secara berkala.

 

Pembajaan

Untuk mendapatkan hasil yang berkualiti dan produktif, pembajaan adalah kunci utama bagi mendapatkan penghasilan sebegitu. Pada peringkat awal tanaman, pokok betik perlu dibaja dengan menggunakan baja sebatian (15:15:15) pada kadar 50-350g sepokok secara berperingkat sehingga bulan ke-5 selepas penanaman. Setelah memasuki bulan ke-6 dan seterusnya, penggunaan baja sebatian (12:12:17) pula akan digunakan sebagai sumber nutrien pada kadar 350g sepokok dalam setiap 6 bulan.

 

Pengairan

Penyelenggaraan dari segi keperluan air amat dititikberatkan kerana dengan ketiadaan air yang secukupnya pada peringkat awal tanaman akan menyebabkan betik terbantut dan terjejas pertumbuhan. Penyiraman yang ideal adalah bergantung pada peringkat pertumbuhan betik. Untuk pokok muda ataupun yang berumur 1-2 bulan, kadar siraman adalah 2-3 minggu sekali. Manakala untuk yang lebih daripada tempoh tersebut pula adalah 1 minggu sekali.

 

Kawalan, Rumpai, Penyakit dan Perosak

Aspek ini tidak boleh dipandang remeh kerana sekiranya tidak ditangani akan menjejaskan kualiti betik dan menyebabkan kerugian besar. Pada peringkat semaian, rumpai adalah masalah utama yang perlu dibendung. Kehadiran rumpai dalam media semaian akan mengganggu pertumbuhan betik kerana persaingan terhadap nutrient dan air.

Sebaiknya, ianya ditangani dengan merumpai menggunakan tangan. Setelah pokok setinggi lebih kurang 5m, kawalan yang sesuai dan efisien adalah dengan melakukan semburan racun rumpai. Manakala dari aspek penyakit pula, tanaman ini sering diserang oleh penyakit ringspot atau bintik cincin. Penyakit ini sangat merbahaya, mudah merebak dan tidak boleh ditangani dengan sebarang racun kimia. Cara terbaik adalah dengan menghapuskan pokok yang mempunyai simptom penyakit tersebut secara menyeluruh.

 

Penuaian Hasil

Betik sudah boleh dituai setelah 8 bulan dari tempoh penanaman. Sebagai pengetahuan asas, perlu diketahui bahawa tanaman betik akan berbuah sepanjang tahun. Selain itu, anda juga perlu mengenali ciri-ciri dan indeks kematangan buah yang sesuai dipetik adalah penting dari sudut pengendalian lepas tuai.

Sekiranya buah terlalu masak yang dipetik, maka berkemungkinan akan menyebabkan buah menjadi busuk semasa proses pengangkutan dan penghantaran dijalankan. Ianya bergantung kepada kepada aliran saluran pasaran. Untuk penghantaran jarak jauh dan memakan masa yang lama, adalah disyorkan menggunakan buah yang sudah tua mempunyai sedikit tanda kekuningan.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *