Cara Tanam Kacang Botol (Mudah Dan Betul)

Cara Tanam Kacang Botol (Mudah Dan Betul)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

Cara Tanam Kacang Botol (Mudah Dan Betul)

Jadi bagaimanakah cara tanam kacang botol? Kacang botol ataupun nama saintifiknya Psophocarpus tetragonolobus yang menjadi pilihan masyarakat Malaysia untuk dijadikan sebagai ulam-ulaman. Kini, tanaman ini mendapat perhatian masyarakat oleh kerana khasiatnya dari sudut kesihatan. Ianya diperkaya dengan vitamin A dan B serta mempunyai kandungan protein yang tinggi sebanyak 10%.

Ianya sejenis tumbuhan yang melilit dan memerlukan pancang sebagai sokongan. Kacang botol boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 3-4 meter berbanding tanaman kekacang yang lain. Selain itu, tanaman ini dikategorikan sebagai tanaman jangka masa pendek dan hanya memerlukan tempoh 3 bulan untuk dituai hasilnya.

 

Baca juga : Cara Tanam Bunga Telang (Mudah Dan Betul)

Keperluan Asas Tanaman

Terdapat 3 faktor penentu yang menjamin kejayaan penanaman kacang botol iaitu iklim, tanah dan pH. Dari segi keperluan iklim, sudah semestinya tanaman ini amat bersesuaian ditanam di Malaysia berikutan daripada iklim tropika yang lembap dan hujan sepanjang tahun. Untuk keperluan tanah pula, tanaman ini sesuai ditanam pada pelbagai tanah seperti tanah gambut, bris dan tanah bekas lombong.

Sekiranya tiada tanah yang seperti dinyatakan, tidak menjadi masalah untuk meneruskan niat menjalankan penanaman ini. Hal ini kerana dengan mendapatkan nilai pH yang bersesuaian iaitu 5.5-6.0 juga penanaman masih boleh dijalankan. Perlu diingatkan supaya memenuhi 3 perkara tersebut bagi menjayakan penanaman.

 

Penyediaan Tanah

Sekiranya ingin menanam secara besar-besaran, penggunaan jentera perlulah diaplikasi bagi memudah dan mempercepatkan proses kerja. Tanah perlu digembur terlebih dahulu menggunakan implementasi bajak seperti bajak putar dan bajak piring bagi memulihkan semula struktur tanah.

Semasa proses tersebut tanah perlu digembur pada kedalaman 20-30cm, ini bertujuan bagi membantu pertumbuhan akar yang stabil. Kemudian, sediakan batas berukuran 1.3m lebar x 30cm tinggi x 7.5cm panjang. Spesifikasi untuk batas kebiasaannya adalah bergantung kepada keluasan kawasan. Akhir sekali, pastikan jarak antara batas adalah sekitar 30cm.

 

Penyediaan Benih

Untuk memulakan penanaman, anak benih perlulah disediakan. Kebiasaannya, kacang botol ditanam menggunakan biji benih. Buah yang telah matang dan kering akan diambil bijinya untuk dijadikan benih. Sebagai langkah selamat di peringkat awal, penyediaan media semaian menggunakan tanah campuran boleh dilakukan bagi memberi jaminan peratusan hidup anak benih di peringkat semaian. Penggunaan pot tray atau bekas bersesuaian boleh digunakan dalam tempoh tersebut. Kemudian, benih yang telah disemai perlu dibiarkan selama 10-14 hari sehingga bercambah.

 

Penanaman

Biji benih yang telah bercambah tadi perlu dipindahkan ke dalam tanah. Untuk memulakan penanaman, anda perlu mengetahui tentang penjarakan tanaman. Bagi penanaman kacang botol, jarak yang bersesuaian antara pokok dan barisan adalah 60cm x 60cm. Mula-mula cabut anak benih dengan berhati-hati dan tanam setiap anak benih ke dalam lubang sekurang-kurangnya pada kedalaman 2.5cm.

Setelah selesai penanaman, siram pokok pada kadar secukupnya. Perlu diketahui bahawa ianya sejenis tanaman yang menjalar, oleh itu tanaman ini memerlukan penyediaan junjung bagi membantu pertumbuhan kacang botol. Untuk proses ini, sediakan kayu pancang yang berukuran lebih kurang 2cm. Pastikan semasa anda menyediakan junjung tersebut, bahan-bahan lain seperti kayu dan tali raffia mencukupi.

 

Penyelenggaraan

Penyelenggaraan yang dimaksudkan adalah dari segi penyiraman, merumpai dan membaikpulih sistem junjung. Dalam aspek penyiraman, adalah sama seperti mana-mana jenis tanaman iaitu pemberian air secara berkala iaitu sebanyak 2 kali sehari. Pastikan air diberi pada kadar secukupnya.

Manakala untuk kerja merumpai ataupun merumput, cara paling efektif dan selamat untuk aktiviti ini adalah dengan mengawalnya menggunakan tangan atau peralatan yang bersesuaian seperti cangkul sebagai langkah kawalan. Sistem junjung perlu sentiasa dipantau dan dibaikpulih mengikut peringkat pertumbuhan pokok. Tali yang diikat hendaklah bersilang secara tersusun bagi memudahkan pokok meliliti tali tersebut.

 

Pembajaan

Berikut adalah jadual pembajaan mengikut peringkat umur pokok:

 

Kawalan Penyakit dan Perosak

Antara penyakit yang sering dikenalpasti menyerang kacang botol adalah karat dan bintik daun cercospora. Kedua-dua penyakit ini akan menyerang pada bahagian daun dan batang kacang botol menyebabkan bahagian tersebut ditumbuhi spora berwarna oren dan terdapat bintik daun pada tanaman.

Bagi mengatasi masalah ini, penggunaan racun kulat seperti Benomyl perlu diaplikasikan bagi menangani penularan kulat tersebut. Manakala dari segi serangan perosak pula, tanaman ini amat sinonim dengan serangan kutu daun dan juga ulat pengorek buah. Kehadiran perosak ini boleh menyebabkan masalah besar terhadap pokok seperti buah berlubang, bunga gugur malahan boleh juga menyebabkan pertumbuhan terbantut sekiranya dibiarkan begitu sahaja.

Sekiranya berlaku, segera dapatkan racun serangga yang terdapat di mana-mana pasaran dan lakukan semburan secara berkala sekurangnya 2 kali seminggu bagi menamatkan permasalahan tersebut.

 

Penuaian

Penuaian boleh dijalankan setelah 10-12 minggu dari tempoh penanaman. Bagi memastikan samada buahnya adalah bersesuaian untuk dituai ataupun tidak, beberapa ciri kematangan perlu dinilai seperti warna dan panjang kacang botol. Kebiasaannya, buah yang dipilih adalah berwarna hijau, mencapai panjang lebih kurang 20cm serta mempunyai tekstur yang rapuh ataupun kelihatan rangup.

Penuaian akan dijalankan secara berturutan dalam tempoh 2-3 hari sekali sejak daripada penuaian pertama. Hal ini perlu dipantau kerana sekiranya kacang botol melebihi tempoh matang, ianya akan menyebabkan kerugian oleh kerana tidak mencapai piawaian pasaran. Secara umum, setiap pokok kacang panjang boleh dituai sebanyak 10 biji buah dalam tempoh 2 hari.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *