Cara Tanam Bunga Telang (Mudah Dan Betul)

Cara Tanam Bunga Telang (Mudah Dan Betul)
Share Artikel Ini Di Media Sosial

Cara Tanam Bunga Telang (Mudah Dan Betul)

Jadi bagaimana cara tanam bunga telang? Seperti yang kita ketahui, bunga telang ini adalah merupakan bahan pewarna bagi nasi kerabu. Ianya menghasilkan warna biru yang semulajadi dan sangat cantik pada nasi kerabu dari segi visual. Bunga ini dikenali dengan pelbagai nama seperti bunga teleng, bunga talang dan bunga bisi.

Bunga telang atau nama saintifiknya iaitu clitoria ternatea amat terkenal di sekitar negara Indonesia serta negara kita. Selain dijadikan sebagai bahan pewarna nasi kerabu, ianya turut berguna untuk pelbagai tujuan lain. Terutamanya, untuk tujuan kecantikan dan kesihatan. Ianya boleh dijadikan ubat bagi melawas kencing dan pencernaan, merawat masalah kulit, serta merawat mata.

 

Baca Juga : Cara Tanam Bunga Matahari (Mudah dan Betul)

Penyediaan Tanah

Sebelum memulakan penanaman, penyediaan tanah bagi penyemaian awal adalah penting. Pertama sekali, sediakan pasu atau bekas yang bersesuaian. Kemudian, sediakan tanah campuran yang mengandungi tanah organik atau kompos dengan pasir pada nisbah 2:1 dan isikan tanah tersebut ke dalam pasu atau bekas yang telah disediakan. Untuk makluman, info tentang penanaman bunga telang menggunakan batas belum secara umumnya diusahakan.

 

Penyediaan Benih

Tanaman ini boleh ditanam menggunakan keratan dan biji benih. Kebiasaannya, ramai memilih menanamnya menggunakan biji benih kerana peratusan hidup yang tinggi dan mudah. Bagi memilih biji benih yang sesuai, pastikan ianya sihat dan berkualiti untuk ditanam. Terlebih dahulu, benih yang diperolehi perlu direndam dalam air selama 6-8 jam bagi mengaktifkan benih dari keadaan dorman.  Benih yang tenggelam dalam air adalah yang benih yang bagus untuk ditanam. Setelah tamat tempoh yang dinyatakan, benih tersebut sudah boleh ditanam pada media semaian.

 

Penanaman

Dengan menggunakan media semaian yang telah disediakan, buat lubang sedalam 1cm untuk semaian biji benih. Dalam setiap lubang, pastikan diisi antara 1-2 biji benih dan pastikan juga jarak antara lubang adalah lebih kurang 12cm. Setelah itu, ratakan permukaan tanah tersebut dengan menabur tanah bagi menutupi lubang tersebut.

Kemudian, ianya perlu diletak di tempat yang cerah bagi mendapatkan sumber haba dan cahaya. Perlu diingatkan bahawa, tanah disiram dengan air bagi mengekalkan kelembapan secukupnya. Seterusnya, biarkan selama 5-14 hari sehingga benih bercambah sebelum dipindahkan pada bekas yang lebih besar.

Tamat tempoh percambahan tersebut, sediakan pasu atau bekas yang lebih besar dengan komposisi tanah yang sama. Isikan tanah sehingga ¾ memenuhi ruang pasu. Untuk mendapatkan pokok yang lebih besar, bekas yang lebih besar amat diperlukan hal ini kerana, tiada berlaku persaingan untuk keperluan nutrien serta akar boleh tumbuh dengan baik dan bebas tanpa sebarang halangan ruang. Akhir sekali, biarkan selama 1-2 minggu serta lakukan penyiraman secara berkala bagi memastikan pertumbuhan yang baik.

 

Penyelenggaraan

Penyelenggaraan yang terlibat untuk penanaman ini adalah dari segi penyiraman, pemangkasan, dan juga pemasangan pancang. Penyiraman perlu dilakukan sebanyak 1 kali sehari. Manakala untuk pemangkasan pula, perlu dilakukan pada 2 peringkat iaitu pemangkasan tunas muda dan pemangkasan kanopi bagi mengekalkan bentuk kubah. Bagi menggalakkan pertumbuhan tunas sisi, pokok yang mencapai ketinggian lebih kurang 20cm akan dipangkas menggunakan gunting yang bersih dan tajam di peringkat tunas muda.

Pemangkasan juga dijalankan untuk mengekalkan bentuk kanopi serta menggalakkan pertumbuhan supaya pokok menjadi lebih rimbun. Seterusnya apabila pokok mula menjalar, pemasangan pancang menggunakan kayu atau buluh perlu dilaksanakan. Untuk spesifikasi pancang tersebut, disyorkan untuk menggunakan 4 batang kayu atau buluh berukuran 60cm. Kemudian, lilit dawai dengan baik bagi melingkungi pokok serta menjadi tapak untuk pokok tumbuh melilit dengan rimbun.

 

Pembajaan

Dari segi pembajaan, gunakan baja organik seperti tahi ayam, kompos dan sebagainya sebagai baja asas sebanyak 2 kali seminggu. Penggunaan baja kimia tidak digalakkan kerana ianya bersifat panas dan boleh menyebabkan kelecuran pada bunga sekiranya tidak diberi pada kadar yang tepat.

 

Penuaian

Kebiasaannya, bunga telang sudah boleh dituai selepas 8 minggu dipindahkan dari semaian. Sebagai tanda ianya sesuai dituai adalah bunga yang dipetik hendaklah matang dari segi warna dan saiz bunga

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *