Cara Memilih Joran Pancing Terbaik

Cara Memilih Joran Pancing Terbaik
Share Artikel Ini Di Media Sosial

Cara Memilih Joran Pancing Terbaik

Cara Memilih Joran Pancing Terbaik sangat lah penting kerana Joran adalah peralatan pancing yang penting untuk membantu pemancing melabuhkan umpan ke sasaran dengan tepat, jauh dan untuk menewaskan ikan. Walau bagaimanapun hakikatnya tidak semua joran adalah sama, bukan sahaja berbeza dari segi panjangnya, materialnya, gayanya bahkan juga kesesuaian teknik digunakan bersama joran tersebut.

 

Baca Juga : Cara Memilih Joran Pancing Kuat Dan Tahan

 

Berikut Adalah Tips Cara Memilih Joran Pancing Terbaik Untu Rujukan Anda:

 

1.Material Joran

Kebanyakan joran diperbuat daripada bahan graphite atau fiberglass. Secara umumnya joran yang diperbuat daripada graphite menjadi pilihan ramai pemancing kerana ia lebih sensitif dalam mengesan getuan ikan. Akan tetapi ia lebih mudah patah berbanding joran lain. Joran yang diperbuat daripada fiberglass pula lebih tahan lasak namun sedikit lebih berat. Ada juga joran yang diperbuat daripada gabungan keduanya.

 

Selain itu terdapat juga pengilang yang memberi kod seperti IM6, IM7 dan sebagainya. Kod ini membawa maksud kualiti material yang digunakan untuk membuat joran tersebut. Contohnya IM7 diperbuat daripada graphite yang lebih berkualiti daripada IM6, akan tetapi ia bukanlah mewakili standard industri tetapi hanya bagi sesuatu pengilang tersebut. Ini bermakna IM7 dari satu pengilang tidak semestinya lebih baik daripada IM6 daripada pengilang lain kerana bahan yang digunakan adalah berbeza antara pengilang-pengilang.

 

Sesetengah pengilang memberikan kod seperti 22T, 24T dan lain-lain. T di sini bermaksud Tonnage, yang digunakan dalam penilaian graphite. Semakin tinggi nombornya semakin karau bahan graphite yang digunakan dan semakin banyak gegaran yang dapat dirasa melalui joran tersebut. Ini juga bermakna semakin kurang material lain yang digunakan untuk mencapai aksi yang sama, menjadikan joran tersebut lebih ringan dan lebih sensitif. Walau bagaimanapun, tidak semestinya bermaksud ia lebih baik. Semakin karau graphite yang digunakan semakin rapuhlah ia kerana ia memerlukan resin dan teknik pembuatan khusus untuk mengekalkan ketahanannya.

 

2.Aksi Atau Lenturan Joran

Aksi joran merujuk kepada lenturan joran. Bagi joran yang mempunyai aksi perlahan ia akan melentur bermula dekat dengan bahagian pemegangnya, kadang-kadang aksi ini lebih dikenali sebagai ‘parabolik’. Manakala joran yang mempunyai aksi laju pula lenturan akan berlaku pada bahagian 1/3 hujung joran.

 

Joran yang mempunyai aksi yang lebih laju mempunyai sensitiviti yang lebih baik dan lebih pantas untuk membuat hookset. Ini kerana pemancing tidak perlu menggerakkan joran dengan banyak ketika membuat hookset untuk sampai ke bahagian karaunya. Joran aksi laju juga sesuai digunakan untuk lontaran dekat dan jauh bagi penggunaan mata kail tunggal.

 

Aksi sederhana dan sederhana laju pula memberikan sedikit kejauhan lontaran dan kekuatan hookset yang mencukupi. Joran aksi ini sesuai digunakan bersama mata kail treble, di mana mata kail jenis ini lebih senang terlucut kerana tidak masuk tembus sedalam mata kail tunggal. Manakala aksi perlahan pula tidak akan menyebabkan umpan tertarik keluar dari mulut ikan sebelum ia ditelan sepenuhnya. Oleh itu teknik dan umpan yang digunakan menjadi faktor dalam pemilihan aksi joran yang patut awda gunakan.

 

3.Kekuatan Joran

Kekuatan atau power bagi sesuatu joran itu merujuk kepada seberapa kuat beban yang diperlukan untuk membuatkan joran tersebut melentur. Daripada ultra-ringan (UL), ringan (L), sederhana ringan (ML), sederhana (M), sederhana berat (MH) sehinggalah ke sangat berat, kadar kekuatan joran berlainan daripada satu sama yang lain. Contohnya joran bass atau joran casting yang selalu digunakan ramai pemancing yang berkekuatan MH, sama sekali tidak akan sama dengan joran MH laut dalam.

 

Walau bagaimanapun apa yang penting adalah untuk menggunakan tali yang berkekuatan dalam lingkungan seperti yang dilabel pada sesuatu joran tersebut. Joran yang mempunyai kekuatan tinggi akan mudah memutuskan tali yang ringan, manakala sebaliknya tali yang berat boleh mematahkan joran yang ringan. Sesuaikan keadaan padang pancing dengan kekuatan joran, kawasan yang mempunyai heavy cover akan memerlukan joran yang berkekuatan tinggi untuk menarik ikan keluar dari persembunyiannya. Begitu juga dengan berat lure yang disyorkan, elakkan melontar batu ladung atau lure yang lebih berat daripada apa yang tertera. Ia boleh mengakibatkan hujung joran patah kerana tidak mampu menampung sentapan kuat menggejut ketika melontar.

 

4.Panjang

Daripada yang panjang 3 kaki hinggalah ke 20 kaki, perlulah diambil kira keperluan kita. Jika kita memerlukan lontaran yang lebih jauh, contohnya bagi pancingan pantai joran panjang sekurang-kurangnya 10 kaki ke atas lebih sesuai. Manakala jika menggunakan bot pula 5-6 kaki sangat memadai kerana ketepatan lontarannya.Walaupun begitu, bagi pemancing baharu atau mereka yang menginginkan joran serba guna, joran panjang 6-7 kaki dengan kekuatan sederhana atau sederhana berat merupakan pilihan terbaik. Ia boleh digunakan di sungai atau muara untuk pelbagai spesies dan sesuai digunakan dengan pelbagai teknik.

 

5.Pemegang

Kebanyakan pemegang joran diperbuat daripada bahan gabus atau EVA untuk keselesaan dan tidak licin dalam genggaman. Pemegang joran direka dengan panjang yang berlainan, pemegang yang panjang lebih sesuai untuk lontaran jauh yang buat dengan kedua belah tangan, manakala pemegang pendek pula lebih sesuai untuk lontaran dekat dan cepat.

 

Selain itu pemegang joran juga boleh didapati dalam bentuk split grip yang ringan dan selesa untuk melakukan lontaran berulang-ulang dan pistol grip untuk lontaran yang tangkas dan tepat, namun begitu salah satu kelemahan pistol grip adalah ia memberi tekanan yang berat terhadap pergelangan tangan pemancing ketika melawan ikan besar dan joran boleh saja terlepas dari genggaman ketika menahan asakan ikan.

 

6.Reel seat

Reel seat joran datang mengikut jenis joran, sama ada awda membeli joran untuk kaedah spinning, baitcaster, fly atau multiplier yang pastinya sesuaikan saiz reel awda dengan reel seatnya, pastikan ia tidak longgar dan muat bagi mengelakkan ia terlepas dari tempatnya. Kebanyakan pemancing lebih suka menggunakan joran yang mempunyai reel seat yang mendedahkan sedikit batang joran di dalamnya. Dengan itu ia akan meningkatkan kesensitifan joran tersebut kerana gegaran akan terus terasa ke jari pemancing.

 

Jangan menggunakan reel spinning dengan joran baitcaster atau multiplier dan sebaliknya. Ini kerana joran spinning dan baitcaster mempunyai kedudukan tulang belakang yang berlainan. Lenturan yang berlawanan dengan tulang belakang sesuatu joran itu boleh mengakibatkannya patah.

 

7.Ring

Kebanyakan ring diperbuat daripada plastik, besi atau seramik. Ring yang diperbuat daripada seramik selalunya lebih ringan dan tahan untuk digunakan bersama tali braided berbanding guide yang diperbuat daripada bahan lain, namun begitu ia selalunya didapati dipasangkan pada joran yang berharga mahal.

 

Ring yang terdapat pada joran juga menjadi faktor yang penting kepada kelancaran tali keluar untuk ketepatan lontaran yang dilakukan. Bahkan ia juga memainkan peranan yang penting kepada persembahan keseluruhan joran tersebut ketika melawan ikan. Semakin banyak jumlah ring yang ada pada sesuatu joran itu, lebih seimbang lenturannya dan lebih tepat lontaran yang boleh dilakukan.

 

8.Kod

Tahukah anda nombor kod yang tertera pada batang joran merupakan informasi mengenai joran tersebut, dan sangat berguna sekiranya tidak ada tulisan panjang lebar tertera di atasnya untuk dirujuk pemancing? Contohnya seperti kod ‘S662MH’, S merujuk kepada Spinning, iaitu jenis joran tersebut adalah khas untuk spinning reel, 66 merujuk kepada panjang joran iaitu panjang 6’6, 2 pula merujuk kepada seksyen iaitu joran tersebut terdiri daripada dua seksyen atau erti kata lain ‘patah dua’, dan akhir sekali MH merujuk kepada kekuatannya.

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *