CARA KIRA ZAKAT PENDAPATAN : SEMAK SYARAT

CARA KIRA ZAKAT PENDAPATAN : SEMAK SYARAT
Share Artikel Ini Di Media Sosial

CARA KIRA ZAKAT PENDAPATAN : SEMAK SYARAT

Tahukah anda cara kira Zakat Pendapatan? Pembayaran zakat adalah salah satu tanggung jawab penting dalam Islam. Zakat adalah sejenis pembayaran dalam Islam yang dikenakan ke atas pendapatan yang diperoleh oleh individu atau syarikat. Zakat pendapatan adalah satu bentuk sumbangan keagamaan yang wajib bagi mereka yang telah mencapai had pendapatan tertentu.

APA ITU ZAKAT PENDAPATAN?

  • Zakat pendapatan merupakan salah satu zakat yang dikenakan terhadap semua umat Islam.
  • Zakat pendapatan ini dikenakan ke atas semua jenis sumber pendapatan, hasil upah yang diperolehi daripada perkhidmatan, pekerjaan dan aktiviti yang menghasilkan pendapatan.
  • Diistilahkan sebagai zakat Mal al-Mustafad, zakat pendapatan merupakan zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan profesional.
  • Ianya merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau institusi.
  • Antaranya yang tergolong dalam kategori pendapatan adalah gaji, elaun, bonus, emolumen, upah, bayaran profesional, dan sebagainya.
  • Pendapatan yang dikatakan adalah tidak berasaskan modal, tetapi berasaskan kerja atau khidmat yang diberikan.
  • Zakat merupakan sebuah kewajipan dan  amalan untuk membersihkan harta anda dengan mengagihkan sebahagian kecil harta anda kepada mereka yang memerlukan.

HUKUM BAYAR ZAKAT PENDAPATAN

Menurut para fuqaha, zakat pendapatan adalah wajib ke atas hasil pendapatan dan gaji.  Zakat digunakan untuk membantu golongan asnaf dan memperkasakan ekonomi muslim di Malaysia. Pendapatan merupakan sejenis harta yang berkembang dan boleh menyumbang ke arah perolehan lumayan. Ia juga merupakan antara aktiviti ekonomi utama pada zaman ini.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah, ayat 267, bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Berdasarkan muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 menyatakan:

Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

JENIS ZAKAT PENDAPATAN

Terdapat dua jenis zakat, iaitu

  1. zakat harta dan
  2. zakat fitrah.

Zakat pendapatan termasuk dalam kategori zakat harta.

SYARAT ZAKAT PENDAPATAN

Anda perlu menunaikan zakat pendatan jika anda mencukupi syarat-syarat di bawah ini:

  1. Beragama Islam – Zakat perlu dibayar oleh mereka yang beragama Islam sahaja.
  2. Merdeka – Pengeluar zakat mestilah bebas mencari rezeki yang halal.
  3. Melepasi Syarat Kadar & Nisab Zakat Pendapatan – Nisab zakat pendapatan bersandarkan 85 gram emas dan kadar bayarannya ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan.
  4. Memiliki Harta Sepenuhnya – Harta yang dizakatkan mestilah harta milik sendiri dan bukan pinjaman atau milik orang lain.
  5. Harta Mampu Memberi Pulangan – Harta tersebut mestilah boleh dikembangkan dan bukan harta yang susut nilai.

JENIS-JENIS HARTA PENDAPATAN 

Ulama’ mutaakhirin membahagikan Mal al-Mustafad kepada kategori berikut:

1. Zakat Harta Penggajian dan Upah Kerja ( كَسَبُ العَمَلِ وَالرَوَاتِبِ وَالأُجُورِ )

Ia bermaksud “Harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya untuk pihak lain sama ada kerajaan, swasta atau individu dengan melakukan sebarang usaha dalam bentuk fizikal, sumbangan idea atau kedua-duanya dalam tempoh yang dipersetujui bersama, sama ada secara tahunan, bulanan, mingguan, harian atau jam.”Contoh :

    • Gaji, upah, bonus, tuntukan kerja lebih masa, gratuiti, pampasan, pencen, hadiah , anugerah & insentif, hasil ESOS (Skim pilihan sahan pekerja) dan sebagainya.
    • Apa-apa hasil yang diperolehi dengan sebab pekerjaan atau penggajian.

2. Zakat Harta Pemberian Atau Sumbangan العطية )

Ia bermaksud “Harta yang diperolehi oleh seseorang bukannya hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya. Ia merupakan pemberian yang diterima samada daripada individu atau institusi dalam tahun semasa ” dalam berbentuk harta zakawi yang bukan dalam bentuk harta tetap (al ‘aqar) dan bukan merupakan nafkah wajib.”Contoh :

    • Hibah, hadiah, saguhati, pencen pasangan, sedekah
    • Pampasan, harta pusaka, mahar perkahwinan

3. Zakat Harta Kerja Bebas المَهَنُ الحُرَّة )

Iaitu harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya sendiri tanpa ada kaitan dengan pihak lain dalam bentuk kerja bebas atau perkhidmatan profesional..Contoh :

    • Bayaran perkhidmatan konsultansi profesional seperti peguam, arkitek, doktor klinik atau hospital swasta dan sebagainya.
    • Bayaran projek yang diterima oleh kontraktor dan keuntungan projek bermusim.
    • Komisyen dan residual income – pendapatan dari jualan insurans, takaful, unit trust, brokeraj dan seumpamanya.
    • Bayaran royalti atau komisyen yang diterima hasl penulisan, penerbitan, aktiviti seni dan sebagainya.
    • Hasil tunai sekali sekala seperti hasil pembiayaan semula aset atau hasil jualan aset tetap atau pinjaman bank yang tiada tujuan dan lain-lain.

4. Zakat Harta al-Mustaghallat ( المُسْتَغَلاَّتْ )

Iaitu segala harta yang diperolehi daripada harta yang tidak diwajibkan zakat tetapi mendatangkan pulangan atau pendapatan dengan cara sewaan atau jualan hasilnya. Contoh:

    • Hasil sewaan rumah, bangunan, kilang, premis, perniagaan dan sebagainya.
    • Hasil sewaan kenderaan, pengangkutan, peralatan, aset atau sebagainya.
    • Hasil yang dikeluarkan oleh binatang ternakan seperti susu, telur, madu dan sebagainya yang dijual

KELEBIHAN DAN MANFAAT ZAKAT PENDAPATAN

  • Kebaikan untuk diri sendiri dan masyarakat – Dengan membayar zakat, individu tidak hanya memperoleh pahala dari Allah SWT, tetapi juga membantu meningkatkan kebajikan masyarakat dan ummah secara keseluruhan.
  • Menjalin hubungan sosial – Melalui zakat, terdapat hubungan sosial yang dibina antara pemberi dan penerima zakat, membantu membina dan memperkuat persaudaraan dan solidariti di antara sesama manusia.
  • Menanamkan sifat bertanggungjawab – Membayar zakat membantu individu menanamkan sifat bertanggungjawab terhadap kebajikan ummah dan masyarakat, serta memperkuat sifat tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
  • Menyucikan harta – Zakat membantu individu menyucikan harta dan membersihkan diri dari rasa keserakahan dan kedekut dalam memperoleh kekayaan.
  • Peluang untuk meningkatkan ibadah – Membayar zakat adalah salah satu peluang untuk meningkatkan amalan ibadah, serta menghampiri kecintaan Allah SWT dengan melaksanakan satu dari lima rukun Islam.
  • Mengikut Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, anda boleh menuntut rebat cukai untuk bayaran zakat yang anda tunaikan kepada pihak berkuasa agama pada tahun taksiran tersebut.

CARA KIRA ZAKAT PENDAPATAN

Terdapat dua cara utama pengiraan zakat pendapatan. Anda boleh pilih kaedah yang sesuai dengan kemampuan.

  1. Pengiraan Tanpa Tolakan 
    • Cara ini paling senang kerana anda hanya perlu darabkan jumlah pendapatan kasar tahunan anda dengan 2.5%. Jawapan yang anda dapat merupakan jumlah zakat yang perlu dibayar.
  2. Pengiraan Dengan Tolakan
    • Buat cara ini, anda boleh menolak jumlah pendapatan kasar tahunan dengan perbelanjaan-perbelanjaan asasi yang dibenarkan. Justeru, jumlah yang perlu anda zakatkan ialah jumlah pendapatan (selepas pelepasan) x 2.5%.

SENARAI TOLAKAN ZAKAT DAN KEPERLUAN ASASI (HAD KIFAYAH) 

Mengikut Fatwa Negeri Selangor bahawa keperluan asasi yang sangat dihajari oleh manusia adalah terlepas daripada kewajipan zakat.

Asas had al-kifayah ialah segala keperluan asasi yang mesti ada pada diri seseorang dan tanggungannya seperti isteri, anak-anak, ibubapa, adik beradik dan sebagainya.

Keperluan asasi yang diambil kita dalam penentuan Had al-Kafayah adalah seperti berikut :

  • Perlindungan
  • Makanan dan minuman
  • Pakaian
  • Perubatan
  • Pendidikan
  • Pengangkutan

Perlukah Anda Menunaikan Zakat?

Ya, jika gaji tahunan anda mencecah nisab zakat pendapatan.

Nisab zakat pendapatan tidak kekal dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Di Malaysia khususnya, setiap negeri mempunyai kadar nisab yang berbeza.

Sebagai contoh, kadar nisab buat Wilayah Persekutuan pada tahun 2022 ialah RM20,361, manakala kadar nisab buat Selangor ialah RM19,973. Untuk maklumat lanjut, kami sarankan anda untuk rujuk secara lansung menerusi portal pusat zakat negeri anda.

Baca Juga :

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *