BILAKAH MALAM LAILATUL QADAR DAN TANDA-TANDANYA

BILAKAH MALAM LAILATUL QADAR DAN TANDA-TANDANYA
Share Artikel Ini Di Media Sosial

BILAKAH MALAM LAILATUL QADAR DAN TANDA-TANDANYA

Tahukah anda bilakah malam Lailatul Qadar? Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”

Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

APA ITU MALAM LAILATUL QADAR?

Lailatulqadar (لیلة القدر‎) merupakan satu malam yang istimewa di Bulan Ramadan.

Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

— Surah al-Qadr: 1-3

Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar (malam)

al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan

  • Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam.
  • Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.
  • Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.
  • Berdasarkan ayat al-Quran dalam Surah al-Qadr, Allah menyebut Lailatul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun. Selain itu Lailatulqadar juga merupakan malam kemuliaan yang Allah SWT hadiahkan kepada umat Nabi Muhammad. Malam teragung ini hanya akan berlaku pada salah satu malam sahaja di dalam bulan Ramadan

TANDA-TANDA MALAM LAILATUL QADAR

Tanda Malam Lailatul Qadar Ada beberapa pendapat berhubung dengan tanda atau alamat malam Lailatulqadar antaranya seperti berikut:

  1. Malam berkenaan terang dan nyaman serta tidak panas pada paginya
    • Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’ : “Sesungguhnya malam berkenaan bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam itu dan tidak terlalu panas serta tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya sehingga ke waktu pagi. [Umdah al-Qari 11/134]
  2. Matahari terbit pada paginya tidak terang dan tidak panas
    • Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’ : Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. [Umdah al-Qari 11/134]
    • Daripada Ubai Bin Kaab R.A menyatakan daripada Rasulullah SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
    • Berdasarkan riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” [Umdah al-Qari 11/134]

KELEBIHAN MALAM LAILATUL QADAR

Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:

  • Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
  • Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
  • Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
  • Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.

BILAKAH MALAM LAILATUL QADAR?

Adapun mereka yang menentukan malam Lailatulqadar ada banyak pendapat, antaranya:

1.Pendapat Pertama:

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:

  • Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatulqadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”
  • Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.”
  • Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.
  • Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”

 2.Pendapat Kedua:

  • Pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلَاثَ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”

3.Pendapat Ketiga:

  • Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اُطْلُبُوهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلَاثِ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan.”

 4.Pendapat Keempat:

  • Pada malam 24 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.”

  • Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi

 

5.Pendapat Kelima:

  • Pada malam akhir Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.”

  • Riwayat Ibn Nasr

KENAPA DI SEMBUNYIKAN WAKTU MALAM LAILATUL QADAR?

Ada sebab Allah menyembunyikan waktu Lailatul qadar, termasuklah;

1. Menunjukkan kehebatan Allah

  • Allah Maha Mengetahui segala-galanya yang telah diciptakan termasuklah waktu malam Lailatul Qadar seperti mana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:
  • “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

2. Supaya manusia dalam keadaan ibadah

  • Apabila kita tidak tahu bilakah waktu Lailatul Qadar yang sebenarnya, ia akan menjadikan kita ingin beribadah pada semua malam dan tidak fokus pada satu malam sahaja.
  • Hal ini menjadikan orang-orang yang beriman sibuk dengan ibadah sepanjang Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadar.

3. Supaya manusia digandakan pahala

  • Bayangkan jika kita sudah tahu waktu malam Lailatul Qadar, sudah tentu kita abaikan waktu malam yang lain di bulan Ramadan. Sebab itulah Allah menyembunyikan waktu tersebut bagi memberi pahala yang berlipat ganda pada hamba-Nya yang sentiasa berusaha beribadah dan istiqamah berdoa kepada Allah.

4. Supaya manusia tidak melakukan maksiat

  • Banyak di antara kita yang tidak dapat mengelak dari perbuatan maksiat. Betapa bahaya dan malangnya mereka jika mereka mengetahui malam tersebut adalah malam Lailatul Qadar, sedangkan mereka masih berani melakukan dosa dan maksiat.
  • Malam Lailatul Qadar adalah peluang bagi orang Islam mendapat sebesar-besar keampunan dari Allah Taala. Oleh itu, sama-samalah kita tingkatkan diri dalam beribadah sementara Ramadan masih berbaki beberapa hari sahaja lagi.
  • Semoga Allah menerima ibadah kita, ampuni dosa kita serta mengizinkan kita untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar.

 

Sumber Rujukan : MUFTIWP

 

Baca juga :

About Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *